4 rakan dituduh bunuh lelaki

PETALING JAYA: Empat rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang ditemukan mati dengan kesan tetakan di muka, leher dan tangan.

Tertuduh, M Mukuntan, 33; S Mahadevan, 40; A Chandramani, 35; dan S Tharma, 30; mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Mereka didakwa bersama-sama membunuh M Danesh, 30, di Jalan BS 6/8, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor, pada jam 5.27 pagi 3 April lalu.



Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh, kerana kes bunuh adalah bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat, manakala kesemua tertuduh tiada diwakili peguam.



BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button