‘Biar mak mati, hang pi keluar selamatkan diri’

Kepala Batas: “Biar mak mati dekat sini, hang (awak) pi (pergi) keluar selamatkan diri dengan anak,” kata Che Sayang Endut, seorang daripada empat mangsa kebakaran di Kampung Kuala Muda, Penaga di sini, pagi tadi, kepada anaknya.

Terdahulu, pada kejadian jam 6.40 pagi itu, empat rumah dua tingkat berstruktur kayu di kawasan berkenaan terbakar ketika penghuninya selesai menunaikan solat Subuh.

Che Sayang, 74, berkata, dia yang baharu selesai membaca al-Quran menggeletar selepas anak perempuannya yang berusia 48 tahun memaklumkan bahawa rumah mereka disambar api.

“Saya menggeletar sehingga tak mampu hendak berjalan. Saya minta anak tinggalkan saya di rumah ini kerana tahu kudrat anak juga tidak kuat. Saya hanya berserah kepada Tuhan.

“Tetapi anak perempuan dengan dibantu cucu perempuan berusia 28 tahun berusaha dengan heret saya keluar sedangkan api ketika itu marak,” katanya ditemui di lokasi.

Menurutnya, dia kemudiannya dibawa ke rumah jiran sebelum anak-anaknya yang lain tiba.

“Saya tidak dapat hendak selamatkan apa-apa dan tinggal sehelai sepinggang kecuali naskah al-Quran sahaja yang masih elok.

“Kejadian ini betul-betul mengejutkan namun saya bersyukur kepada Allah SWT kerana masih dipanjangkan usia,” katanya.

Sementara itu, hasrat sebuah keluarga dekat situ berkumpul beramai-ramai bagi menyambut Aidilfitri di rumah pusaka dua tingkat berusia lebih 80 tahun berkecai apabila kediaman itu turut musnah dijilat api.

Nor Azian Ariffin, 46, longlai selepas dihubungi jirannya yang memaklumkan rumah pusaka itu terbakar dengan kerugian ditanggung kira-kira RM100,000.

Katanya, dia yang tinggal di Kampung Dua Puluh yang terletak tidak jauh daripada rumah pusaka keluarganya akan datang ke kediaman berkenaan untuk membersihkannya walaupun ia tidak dihuni sesiapa.

“Kali terakhir, rumah ini didiami arwah ibu saudara saya yang meninggal dunia Ogos tahun lalu.

“Walaupun saya dan adik-beradik lain tidak tinggal di rumah ini namun kami menjaga baik kediaman peninggalan nenek moyang ini, termasuk sentiasa menjenguk arwah ibu saudara sehingga dia meninggal dunia.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan rumah ini terbakar. Tambahan pula, kami baharu sahaja menghabiskan banyak wang bagi mengecat rumah termasuk membaik pulihnya untuk kami berkumpul pada Aidilfitri ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kebakaran jam 6.49 pagi.

“Ketika tiba, kami dapati empat rumah musnah terbakar sebelum melakukan kerja pemadaman.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

METRO

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker