Pertumbuhan positif

Petaling Jaya: Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) berada di landasan tepat bagi mencapai pertumbuhan positifnya tahun ini disokong segmen pendapatan penerbangan dan perkhidmatan lain.

Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See berkata, pihaknya juga optimis dapat mencatatkan pulangan modal dan aliran kewangan positif seperti yang disasarkan menjelang 2023.

Katanya, MAG turut menyasarkan pendapatan daripada perniagaan sokongannya akan meningkat dua kali ganda menjelang 2025.



“Kami perlu melihat prestasi yang direkodkan setiap suku dan pertumbuhan yang disasarkan ini juga bergantung kepada bagaimana pasaran industri selepas sempadan dibuka.

“Kami juga komited untuk meningkatkan pendapatan sampingan menerusi penjualan pakej pelancongan, makanan dan tempat duduk.

“Bagaimanapun, perancangan utama kami adalah untuk memastikan pencapaian dicatatkan lebih baik sebelum pandemik lagi dalam tempoh 2024 ke 2025,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Sunway Group di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Kapten Izham Ismail, Pengarah Eksekutif Sunway Group, Sarena Cheah, Pengerusi Malaysia Airlines dan MAG, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.



Kerjasama MAG dan Sunway itu dijangka membuka peluang perniagaan baharu termasuk kempen pemasaran bersama dan pelbagai lagi aktiviti lain yang dapat dimanfaatkan kedua-dua jenama itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls & Taman Tema, Chan Hoy Choy berkata, pihaknya menjangkakan prestasi sektor pelancongan yang lebih baik tahun ini dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa negara.

Beliau berkata, perniagaan kumpulan seperti makanan dan minuman (F&B), hotel, riadah, pelancongan perubatan dan pendidikan dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi dan kemasukan semula pelancong.

“Usaha ini sudah pasti dapat memacu kepada pertumbuhan dan pemulihan ekonomi Malaysia, di samping memulihkan semula kedua-dua sektor dan meletakkan Malaysia sebagai negara utama di peta dunia,” katanya.



Menurutnya, kerjasama ini juga bakal menawarkan pakej pelancongan komprehensif meliputi penerbangan, penginapan hotel dan promosi menarik yang boleh dinikmati pelanggan kedua-dua syarikat melalui pelbagai pakej percutian dan taman tema.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button