Projek ECRL dijamin bebas banjir

Kuala Terengganu: Projek laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan siap pada Disember 2026 dibina lebih tinggi bagi memastikan ia bebas daripada bencana banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, selain pembinaan struktur yang lebih tinggi, reka bentuk jajaran itu dibina berdasarkan kala purata ulangan (average recurrence interval-ARI) 100 tahun.

“Dalam reka bentuk, kita telah mengenal pasti beberapa lokasi (banjir) bukan sahaja di Terengganu tetapi di keseluruhan jajaran ECRL ini (dan) sebab itu reka bentuk yang kita buat berdasarkan ARI 100 tahun dan kita tambah 20 peratus.

“Ia bagi memastikan supaya landasan yang kita bina itu adalah landasan yang lebih tinggi daripada paras banjir yang tertinggi dalam tempoh 100 tahun (dan) ditambah lagi 20 peratus, Insya-Allah, jajaran dibina diatas paras banjir yang paling tinggi sebelum ini.

“Saya boleh ambil contoh di Pahang, Sungai Pahang umpamanya kalau mengikut statistik ketinggian paras banjir pada ketika itu adalah 38 meter (m) (dan) landasan yang kita bina ialah setinggi 51.2 m.

“Ini antara salah satu contoh yang saya boleh kongsikan, maksudnya daripada segi jajaran, kita memang (bina) lebih daripada paras banjir yang telah berlaku sepanjang tempoh 100 tahun dan kita tambah lagi dua puluh peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Majlis Berbuka Puasa Bersama MRL Sdn Bhd di sini, malam tadi.

Darwis berkata, pembinaan enam stesen di Terengganu akan bermula pada suku keempat tahun ini dan menjangkakan kerja-kerja infrastruktur itu akan siap sepenuhnya pada 2024.

Katanya, ia akan disusuli dengan kerja-kerja sistem dan sebagainya, pada pertengahan tahun 2026.

“Jajaran daripada Seksyen A,B dan CI (Temerloh ke Gombak) akan siap sepenuhnya pada Disember 2026.

“Secara keseluruhan, projek ECRL sudah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 28.57 peratus dan di Terengganu, kita sudah mencapai kemajuan kerja sebanyak 27.86 peratus.

“Insya-Allah, landasan kita berada pada landasan yang tepat untuk siap sepenuhnya pada Disember 2026 dengan harapan rakyat mendapat satu sistem pengangkutan yang lebih maju, moden dan efisien dalam usaha kita memantapkan perjalanan rakyat daripada satu negeri kepada negeri lain,” katanya.

Rangkaian rel sepanjang 665 kilometer (km) yang merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61 km, serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127 km, dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion dan dijadualkan siap pada Disember 2026.

Pembinaan membabitkan jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu, manakala Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang, Selangor.

METRO

Leave a Reply