Purata harga minyak diunjur AS$102 pada suku kedua

KUALA LUMPUR: Penanda aras harga minyak mentah Brent dijangka berada pada purata AS$108 setong pada suku kedua dan AS$102 setong pada 2023, demikian mengikut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS di dalam laporan Tinjauan Tenaga Jangka Pendek yang dikeluarkannya pada Selasa.

Agensi tenaga antarabangsa itu berkata, namun begitu unjuran berkenaan berkemungkinan berubah susulan ia bergantung kepada kesan sekatan dagangan dan kewangan ke atas Russia.

Katanya, sebarang sekatan baharu pada masa hadapan dan tindakan diambil oleh sektor korporat ke atas pengeluaran minyak atau jualan minyak Russia di pasaran global akan mempengaruhi harga.

Maklum balas pengeluar minyak lain terhadap harga minyak dan kesan perkembangan makroekonomi terhadap permintaan minyak global dijangka menjadi perkara utama kepada pergerakan harga minyak dalam beberapa bulan akan datang, kata EIA.

Inventori minyak global adalah dijangka pada kadar purata 0.5 juta tong sehari dari suku kedua hingga akhir 2023, yang mana akan memberi tekanan ke bawah pada harga minyak, walaupun terdapat pengurangan dalam ramalan pengeluaran minyak oleh Russia oleh agensi itu, menurut EIA.

EIA juga mengunjurkan harga AS untuk runcit petrol berpurata AS$3.84 segelen (gal) pada musim panas, peningkatan daripada AS$3.06/gal pada tempoh tahun lalu dan harga tertinggi sejak musim panas 2014.

Harga runcit diesel untuk musim panas dijangka berpurata AS$4.57/gal, yang juga adalah harga pelarasan inflasi tertinggi untuk musim panas sejak 2014, kata EIA.

Harga minyak meningkat semula pada awal Rabu berikutan laporan penurunan pengeluaran oleh Russia walaupun IEA sudah menurunkan unjuran permintaan 2022 berikutan permintaan lemah dari China di tengah-tengah sekatan COVID-19.

Minyak mentah West Texas Intermediate untuk penghantaran Mei kali terakhir dilihat naik AS$1.42 kepada AS$102.02 setong, manakala minyak mentah June Brent, penanda aras global, naik AS$1.70 kepada AS$106.34.

Dalam Laporan Pasaran Minyak bulanannya, IEA berkata pengeluaran dan eksport Russia terus jatuh berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Agensi itu berkata pengeluaran sebanyak 0.7 juta tong sehari oleh Rusia telah ditutup setakat bulan ini dan ia menjangkakan ia akan meningkat kepada 1.5 juta tong sehari menjelang akhir bulan kerana pembeli semakin berkurangan.

“Walaupun sesetengah pembeli, terutamanya di Asia, meningkatkan pembelian daripada Russia yang memberi diskaun secara mendadak, pelanggan tradisionalnya mengurangkan pembelian.

“Buat masa ini, tiada tanda-tanda peningkatan volum akan pergi ke China, di mana penapisan telah mengurangkan pengeluaran kerana lonjakan kes Covid baru-baru ini. dan sekatan baharu telah menjejaskan permintaan minyak,” kata agensi itu dalam laporannya.

Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker