Bainun ‘naik hantu’ selepas Bella tarik langsir – Saksi

KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali ‘naik hantu’ dan mula tidak sukakan remaja Sindrom Down dikenali Bella berpunca daripada satu kejadian, di mana mangsa tertarik langsir sehingga besi tercabut.

Melalui pendedahan penghuni rumah kebajikan itu yang juga saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, sejak kejadian itu, Siti Bainun mula marah-marah dan memukul Bella.

“Bella pernah masuk bilik kedua iaitu bilik yang menempatkan saya dan adik-adik (penghuni) lain. Bella tertarik langsir hingga besinya tercabut

“Selepas kejadian, Bainun jadi marah dan pukul Bella. Tarikh kejadian saya tak ingat,” katanya.

Menurut Yasmin, beliau pernah diarahkan Siti Bainun untuk membogelkan Bella sebelum diikat dengan tali dan dibaringkan sebelum dicurah air panas.

“Saya diarahkan Siti Bainun untuk pastikan Bella tidak bergerak dan menyasarkan di bahagian tertentu sebelum dicurah air.

“(Ia menyebabkan) ada kesan parut di paha kanan, pergelangan kaki dan lutut Bella,”katanya.

Yasmin berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Siti Bainun pada sesi pemeriksaan balas dalam kes pengabaian dan penganiayaan terhadap Bella di hadapan Hakim Izralizam Sanusi di Mahkamah Sesyen hari ini.

Dalam prosiding kelmarin, Yasmin dalam keterangannya berkata, Siti Bainun mendera Bella setiap hari selama hampir empat bulan yang berlaku pada setiap malam sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Sementara itu, Yasmin bersetuju dengan cadangan Asiah bahawa Bella dicurah air panas tiga kali sehari dengan menggunakan picagari dan cawan.

“Saya ambil air panas itu daripada alat penapis air. Air itu ada keluar wap dan pernah tertumpah,” katanya.

Perbicaraan bersambung petang ini.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker