Leicester ke separuh akhir Liga Conference

PARIS: Leicester bangkit menewaskan PSV Eindhoven 2-1 sebentar tadi dalam Liga Conference Europa seterusnya mara ke separuh akhir buat pertama kali dalam sejarah mereka dan akan berdepan pasukan kendalian Jose Mourinho, Roma.

Selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama di England minggu lau, PSV mendahului aksi suku akhir itu menerusi Zahavi.

Namun gol lewat James Maddison dan Ricardo Pereira membantu kemenangan skuad Liga Perdana bimbingan Brendan Rodgers dan mengejutkan penonton di Philips Stadion.



Leicester akan menentang Roma bagi mencari tempat ke final di Tirana 25 Mei depan selepas pasukan Serie A itu mengatasi defisit 2-1 pada suku akhir pertama menentang kelab Norway, Bodo/Glimt menerusi kemenangan 4-0.

“Kami adalah pasukan yang sangat muda dalam bola sepak Eropah,” kata pengurus Leicester, Rodgers kepada BT Sport.

“PSV ada sejarah menakjubkan di Eropah dan kami terlalu muda – ini adalah pengalaman hebat buat kami dan saya sangat gembira buat pemain.”

Sementara itu Nicolo Zaniolo meledak hatrik ketika Roma mengatasi Bodo/Glimt di Stadio Olimpico untuk menang 5-2 secara agregat.



Ia adalah aksi balas dendam kelab dari ibu kota itu selepas dimalukan 6-1 oleh Bodo/Glimt pada peringkat kumpulan dan ia berlangsung dalam suasana tegang.

“Kini terpulang kepada kami untuk membawa bendera Itali, hanya kami pasukan yang tinggal dalam memburu piala di Eropah,” kata Mourinho.

“Kami lebih kuat berbanding mereka, ia sesuatu yang tidak boleh diterima hanya menang sekali selepas empat kali cuba menentang Bodo.”

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button