Setiap hari tanya mana Papa

Johor Bahru: “Paling sedih apabila anak setiap hari bertanya mana bapanya kerana tidak memahami arwah sudah tiada,” kata ibu tunggal anak lima, Zalinda Zainal, 34.

Menurutnya, anak keempatnya sering bertanya demikian dan pemergian suaminya, Mohd Norhairullah Abu Bakar, 34, sejak 29 Januari lalu kian dirasainya terutamanya dengan ketibaan Ramadan ini.

“Saya kini berseorangan menjaga lima cahaya mata berusia setahun hingga 11 tahun. Suami meninggal dunia ketika mengambil upah mengangkat barang di Flat Jasa Mutiara Rini dekat sini.

“Pada hari kejadian, arwah mengadu sakit dada sebelum rebah dan meninggal dunia. Sebelum ini arwah bekerja di Singapura namun kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.



Zalinda yang juga seorang suri rumah berkata dia kini hilang punca pendapatan dan permohonannya bagi mendapatkan pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) juga gagal kerana suaminya tidak memiliki caruman mencukupi

“Buat masa ini saya hanya dapat bekerja dari rumah kerana perlu menjaga anak kecil. Oleh itu saya menjual mi sup mengikut tempahan harian selain menghantar kuih ke gerai bagi mendapatkan wang.

“Saya bergantung kepada duit yang dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain turut dibantu kenalan serta ahli keluarga,” katanya.

Katanya, dia dan anak-anak hanya makan ala kadar dan berjimat serta kadang-kala hanya makan nasi berlauk telur dan kicap.



“Saya perlu menanggung sewa rumah RM350 sebulan serta perbelanjaan persekolahan anak.

“Saya amat bersyukur kerana pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menguruskan permohonan bantuan sara hidup asnaf sebanyak RM500 sebulan, selain sebelum ini turut menghulurkan bantuan segera.

“Memang pada tahun ini kami tidak merancang untuk menyambut Aidilfitri namun saya bersyukur MAIJ memberi peluang kepada anak untuk membeli baju raya. Sekurang-kurangnya anak-anak lebih ceria dan ia dapat mengisi kesunyian mereka tanpa arwah bapa pada tahun ini apabila dapat keluar membeli-belah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Zalinda ditalian 018-7910615.

Keluarga Zalinda antara yang terpilih menerusi Program Belanja Raya Bersama Asnaf 2022 baru-baru ini.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker