Bergaduh sebab tak puas hati pembahagian untung berniaga

Padawan: Tujuh lelaki berusia antara 26 hingga 40 tahun ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan di premis makanan di Jalan Matang, di sini, malam tadi.

Selain itu, polis juga sedang mengesan individu lain yang terbabit dalam pergaduhan yang berlaku kira-kira jam 11 malam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis merampas beberapa senjata tajam di tempat kejadian.

“Permohonan reman akan dibuat bagi melengkapkan kertas siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebelum kejadian, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun bersama-sama rakannya sedang duduk di hadapan kedai makanan berkenaan.

Katanya, mereka kemudian diserang sekumpulan lelaki iaitu kira-kira 10 orang dengan senjata tajam.

Abang Zainal berkata, rakan mangsa yang berusia 27 tahun mengalami kecederaan di tangan, kaki dan kepala serta dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Katanya, dua suspek berumur 30 dan 43 tahun turut mengalami kecederaan dan sedang dirawat di HUS.

“Punca kejadian disebabkan masalah pembahagian keuntungan perniagaan sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati.

“Kes ini tidak ada membabitkan mana-mana kumpulan tertentu atau hutang judi seperti yang tular di media sosial,” katanya.

Justeru, Abang Zainal meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker