Didenda RM2,500 jual al-Quran tanpa permit KDN

Tumpat: Peniaga dalam talian didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki naskhah al-Quran tiada kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Januari lalu.

Tertuduh, Ammar Abdullah, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Ammar didakwa memiliki 70 naskhah al-Quran yang tiada perakuan kelulusan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Pasir Pekan, Wakaf Bharu, di sini, lebih kurang 9.04 pagi pada 20 Januari 2022.

Bagi pertuduhan kedua, Ammar didakwa memiliki 846 naskhah al-Quran yang tiada perakuan kelulusan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Bandar Baru Pasir Pekan, Wakaf Bharu, di sini, pada 10.15 pagi, 20 Januari 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7 (1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 7 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KDN, Raja Husin Raja Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Raja Husin memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh memandangkan sejak kebelakangan ini banyak pengeluaran al-Quran yang tidak dilesenkan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran.

Katanya, kes itu diharapkan menjadi pengajaran kepada penjual lain kerana al-Quran memiliki kesuciannya.

Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya jumlah denda dikurangkan kerana mempunyai tiga tanggungan selain ia adalah kesalahan pertamanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi pertuduhan pertama. manakala RM1,500 bagi pertuduhan kedua atau dipenjara tiga bulan jika gagal bayar denda.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker