Polis cari warga asing tak pakai pelitup muka, tunjuk isyarat lucah

'Kena tipu konon...'

Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang lelaki warga asing tidak memakai pelitup muka dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang, di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis mengesan video tular berdurasi 18 saat dimuat naik oleh dua pemilik akaun TikTok.

“Satu laporan polis sudah diterima mengenai kejadian itu.

“Video itu memaparkan seorang lelaki dipercayai bukan warga negara tidak memakai pelitup muka dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan yang sedang bertugas di pasar raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kejadian itu, Ashari berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

METRO

Leave a Reply