Suami maut, isteri parah dirempuh kereta penyeludup ketum

KUBANG PASU: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Padang Gelanggang, Ayer Hitam, awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kemalangan jam 2 pagi itu berpunca daripada sebuah kereta pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina yang dipandu seorang lelaki yang sarat membawa muatan 500 kilogram (kg) daun ketum yang merempuh kereta Proton Iswara yang dinaiki pasangan suami isteri terbabit.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu MPV terbabit yang dari arah Alor Setar menghala ke Kangar, Perlis cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya dan dipercayai gagal sebelum merempuh kereta pasangan itu yang datang dari arah bertentangan.
Akibat perlanggaran itu, pasangan terbabit tersepit di tempat duduk bahagian hadapan.
Mayat pemandu kereta Proton Iswara terbabit, dikenal pasti sebagai Ahmad Sofberi Sharif, 38, dari Kampung Pida 8 Mukim Ah, Kodiang meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala isterinya dikenali sebagai Hananie Hassim, 28, mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kedua-dua kaki.
Bomba terpaksa memotong pintu dan bumbung kereta Iswara terbabit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.
Mayat Ahmad Sofberi dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat dan isterinya turut di hantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Rodzi berkata, pemandu MPV berusia 29 tahun berasal dari Felcra Lubuk Sireh, Perlis turut mengalami kecederaan patah kaki kanan, luka pada tangan kanan dan dagu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun Akta Racun 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
astroawani

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker