Bekas Exco Kerajaan Perak dipanggil SPRM

Seri Iskandar: Bekas Exco Kerajaan Perak ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Datuk Asmuni Awi mengesahkan beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah bagi tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak memaklumkan perkara itu melalui aplikasi WhatsApp kepada NSTP, malam tadi.

“Saya sudah dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan mereka pada hari Jumaat, 15 April lalu,” katanya ringkas dalam mesej itu.

Sebelum ini, media melaporkan empat bekas Exco Kerajaan Perak ketika pentadbiran PH, membuat laporan kepada SPRM berhubung isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Mereka ialah Asmuni; Adun Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How; Adun Sungai Rapat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin; dan Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing.

Isnin lalu media melaporkan, seramai 13 individu sudah dipanggil bagi membantu siasatan kes itu, namun tiada individu ditahan berkaitan penjualan tanah berkenaan setakat ini.

Mereka yang dipanggil bagi membantu siasatan terdiri daripada pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), pegawai kerajaan negeri, bekas Exco Perak dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan timbul selepas Adun Aulong, Nga Kor Ming pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan itu.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker