Inter benam Milan, mara ke final Piala Itali
MILAN: Lautaro Martinez meledak dua gol ketika Inter Milan menewaskan pencabar dari bandar yang sama, AC Milan 3-0 sebentar tadi untuk mara ke final Piala Itali dan akan bertemu sama ada Juventus atau Fiorentina.
Aksi separuh akhir itu lebih sengit berbanding jumlah jaringan namun Inter jelas selesa secara agregat berikutan seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama.
Skuad kendalian Simone Inzaghi akan menentang pemenang satu lagi separuh akhir esok dengan Juventus mendahului 1-0 selepas aksi pertama.
Aksi final akan berlangsung di Stadio Olimpico pada 11 Mei.
“Saya gembira kerana kami bermain satu lagi final, kami bekerja keras untuk membawa Inter menang malam ini dan kami membuktikannya sekali lagi,” kata Martinez. “Penyokong puas hati, begitu juga kami.”
AC Milan kekal tanpa trofi utama sejak menang gelaran Serie pada 2011, namun Scudetto masih boleh dicapai musim ini.
Skuad kendalian Stefano Pioli mendahului Inter dengan dua mata di persada walaupun juara bertahan itu masih ada baki satu perlawanan.
Inter membuat penampilan baik apabila meledak dua gol pertama dalam empat minit awal permainan.
Hantaran lintang Matteo Darmian menemui Martinez dengan pemain Argentina itu meledak voli ke penjuru yang juga jaringan ke-18 miliknya musim ini.
Inter menggandakan kelebihan apabila Joaquin Correa menghantar bola tepat kepada Martinez yang tenang mengetasai penjaga gol, Mike Maignan.
Inter memastikan tempat ke final berbaki lapan minit permainan menerusi serangan balas pantas apabila hantaran lintang Marcelo Brozovic menemui pemain gantian, Robin Gosens yang menjaringkan gol ketiga pasukannya.
AFP