Isteri, anak dibayar RM15 teman jiran tidur

Pokok Sena: Bukan tidak mahu menyediakan kediaman yang lebih selesa buat isteri dan tiga anak, namun kesempitan hidup menjadi penghalang buat seorang lelaki membina mahligai impian buat keluarganya.

Mereka kini hanya tinggal dalam rumah sempit di Kampung Sentosa, dekat sini sejak 12 tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohd Mazlan Zainol, 45, yang bekerja sebagai pesawah dan mengambil upah melakukan kerja kampung bersyukur kerana isterinya, Noor Yanti Suraya Ramli, 40, dan anak mereka berusia antara 10 hingga 14 tahun tidak pernah merungut menghadapi keperitan hidup itu.



Kata Mohd Mazlan, disebabkan rumah yang sempit dan hanya mempunyai sebuah bilik, Noor Yanti Suraya dan anak perempuan akan menumpang tidur di rumah jiran mereka yang juga wanita warga emas.

“Kebetulan jiran saya itu tinggal berseorangan dan dia membayar isteri RM15 setiap malam kerana menemaninya.

“Saya anggap itu sebagai rezeki kerana wang terbabit sedikit sebanyak dapat membantu menampung hidup kami anak beranak,” katanya yang ditemui pada program Ziarah Kasih Ramadan (Zikir) anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, hari ini.

Dalam program itu, Mohd Mazlan menerima sumbangan bekalan makanan dan wang tunai daripada Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri, Pejabat Pembangunan Negeri Kedah Mohamad Zaini Mohamud.



Turut hadir Penghulu Mukim Gajah Mati, Shamsul Hasni Abdul Jalil.

Mohd Mazlan berkata, rumah yang didiaminya kini dibina dengan sumbangan kayu oleh ahli keluarganya dan dia hanya mengeluarkan modal RM3,000 untuk membeli bata dan papan.

Katanya, dalam serba kekurangan, dia tidak mampu menambah baik rumah itu dan ia sudah mula reput disebabkan struktur kayu dimakan anai-anak dan dinding zink rosak.

“Ketika itu (mula-mula buat rumah) saya hanya fikir mahu beri tempat berteduh buat keluarga, namun lama kelamaan anak pun sudah besar, keadaan rumah pula hanya tunggu masa untuk roboh.



“Namun kami sekeluarga terpaksa tinggal di sini kerana tiada pilihan lain. Hasil kerja sebagai pesawah tidak menentu malah ia juga akan dikongsi bersama ahli keluarga lain.

“Apa yang diutamakan adalah belanja persekolahan anak-anak,” katanya yang mengakui sedih kerana merasakan diri gagal memberi keselesaan buat keluarga.

Menurutnya, setiap hari dia berpesan kepada anaknya supaya belajar bersungguh-sungguh demi masa depan dan keluar daripada belenggu kemiskinan.

Mohd Mazlan juga adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sebulan.



Sementara itu, Mohd Zaini berkata, pihaknya dimaklumkan yang permohonan Mohd Mazlan untuk membina rumah melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di tapak berhampiran kediamannya sudah dibawa untuk pertimbangan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohd Mazlan di talian 013-5644623.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button