Kemasukan hospital untuk kanak-kanak tidak divaksin meningkat

Washington: Kadar kemasukan ke hospital untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang tidak divaksinasi adalah dua kali lebih tinggi daripada mereka yang divaksinasi ketika lonjakan kes Covid-19 yang disebabkan oleh varian Omicron.

Ia menurut satu kajian di Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan pada Selasa.

Bagi setiap 100,000 kanak-kanak yang tidak divaksinasi dalam kumpulan umur itu, nisbah 19.1 untuk kemasukan ke hospital dengan Covid-19, antara pertengahan Disember dan akhir Februari.

Ia berbanding nisbah 9.2 bagi setiap 100,000 kanak-kanak yang diberi vaksin, lapor Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

Penyelidik melihat hampir 400 kemasukan ke hospital di 14 negeri dalam tempoh berkenaan.

Ia mendapati bahawa antara 397 kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dengan Covid-19 apabila Omicron dominan, 87 peratus tidak divaksinasi, satu pertiga tidak mempunyai masalah perubatan asas, dan 19 peratus dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Varian Omicron menyebabkan jangkitan koronavirus yang tinggi di AS pada bulan Januari.

Ia mendorong peningkatan kemasukan ke hospital Covid-19 dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 18 tahun, yang membawa kepada kebimbangan mengenai kesan ke atas kanak-kanak yang tidak divaksinasi.

Pengawal selia AS membenarkan vaksin Covid-19 Pfizer untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun sebelum lonjakan Omicron.

Hanya 28 peratus kanak-kanak dalam kumpulan umur berkenaan diberi vaksin sepenuhnya, menurut data CDC.

Kajian itu juga mendapati kadar puncak kemasukan ke hospital Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak dalam kumpulan umur itu adalah lebih tinggi semasa gelombang Omicron berbanding varian Delta.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker