Pembeli anggap harga tiket kapal terbang masih mahal

Kuala Lumpur: Orang ramai beranggapan harga tiket kapal terbang menjelang Aidilfitri masih mahal walaupun syarikat penerbangan mendakwa sudah menurunkan harga khususnya bagi perjalanan ke Sabah dan Sarawak bermula Sabtu lalu.

Seorang daripadanya, Mohd Helmi Baharudin, 38, berkata, dia mendapati harga tiket untuk keluarganya enam beranak bagi perjalanan ke Kota Kinabalu terlalu mahal, berbanding dua tahun lalu.

Katanya, disebabkan itu dia memutuskan untuk tidak pulang ke kampung halaman dan hanya menyambut Aidilfitri di Lembah Klang.

“Walaupun harga tertera pada paparan awal murah tetapi jumlah akhir yang perlu dibayar tinggi dan untuk mendapatkan pakej asas saja pun sudah mahal, belum termasuk caj lain seperti bagasi dan sebagainya.

“Biasanya, caj tiket kami enam beranak balik Sabah untuk perjalanan dua hala antara RM2,600 ke RM3,000 menggunakan Malaysia Airlines (MAS), begitu juga Malindo Air dan AirAsia, harga tidak jauh beza.

“Namun, ketika semakan saya pagi tadi, harga tiket dua hala melonjak hampir RM6,000 yang berlepas pada minggu terakhir sebelum Syawal.

“Kalau hendak balik boleh tetapi rasa membazir disebabkan harga tiket mahal sangat. Jadi kami putuskan beraya saja di sini dan akan balik Sabah selepas harga tiket turun,” katanya ketika dihubungi.

Pekerja swasta itu turut mempersoalkan kenaikan harga tiket penerbangan pada musim perayaan kerana trend peningkatan itu sudah berlaku sejak dahulu lagi.

“Ramai orang Sabah dan Sarawak tinggal dan bekerja di Semenanjung, begitu juga orang Semenanjung seperti penjawat awam ramai bekerja di dua negeri itu. Kita harap kerajaan dapat kawal harga tiket kapal terbang kerana ia satu keperluan,” katanya.

Berkongsi perkara sama, Siti Zulaikha Abdullah, 29, yang akan pulang menyambut Aidilfitri di Kuching bersama suami dan bayinya berusia setahun empat bulan berkata, mereka membayar harga tiket dua kali ganda lebih tinggi berbanding biasa.

“Semalam, saya membeli tiket kapal terbang bernilai RM1,100 yang saya kira paling mahal pernah dibeli selama ini.

“Ketika perjalanan Januari lalu, tiket penerbangan kami tiga beranak cuma RM500 sahaja pergi dan balik,” katanya.

Bagi Abdul Al Haffiz Abdul Aziz, 31, pula, pengguna perlu bijak memilih kerana setiap syarikat penerbangan menyediakan tawaran dan pakej promosi berbeza.

“Untuk perjalanan dua hala penumpang dewasa dari Kuala Lumpur ke Sarawak biasanya harga ditawarkan MAS kira-kira RM900, manakala AirAsia dan Malindo Air kira-kira RM300.

“Bagi saya, harga tiket sekarang masih berpatutan dan sebenarnya yang cakap mahal itu ialah MAS kerana sudah memasukkan semua caj dalam satu pakej termasuk makanan dan berat bagasi, berbanding dua lagi syarikat menawarkan pilihan bergantung kepada situasi penumpang.

“Jadi pengguna perlu bijak memilih untuk berjimat. Saya sendiri jika tiada keperluan untuk ambil bagasi, saya akan pilih AirAsia tetapi jika membawa banyak barang atau pesanan daripada ahli keluarga, saya akan naik MAS kerana jika dihitung, harganya tidak jauh beza untuk kesemua syarikat penerbangan itu,” katanya yang akan pulang ke Kuching.

Isu tiket kapal terbang untuk pulang menyambut Aidilfitri menjadi pertikaian ramai apabila harga tiket bagi destinasi di Sabah dan Sarawak melambung tinggi sehingga mencecah RM2,000 bagi perjalanan dua hala berbanding kira-kira RM300 sebelum ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dilaporkan semalam berkata, lebih 30 peratus harga tiket penerbangan diturunkan selepas kesediaan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bertolak ansur menurunkan kadar sedia ada.

Isu itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengingatkan pengendali syarikat penerbangan agar tidak mengambil keuntungan berlebihan dengan menaikkan harga tiket ke Sabah dan Sarawak terlalu tinggi pada musim perayaan.

Sementara itu, semakan Harian Metro di laman sesawang tiga syarikat penerbangan utama negara, hari ini mendapati, harga tiket untuk penumpang kelas ekonomi bagi perjalanan sehala, tinggi sedikit pada minggu terakhir Ramadan, dan lebih rendah sehari atau dua hari sebelum Aidilfitri.

Sebagai perbandingan, harga asas tidak termasuk cukai, caj insuran dan lain-lain bagi perjalanan ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur menggunakan MAS berkadar antara RM432 hingga RM444 pada 26 April hingga 1 Mei, manakala RM262 pada tarikh 2 Mei hingga 6 Mei.

AirAsia pula menawarkan harga tiket RM314 pada 26 dan 27 April, diikuti RM364 pada keesokannya serta RM424 pada 29 dan 30 April, manakala RM324 pada 1 hingga 2 Mei selain RM234 bermula 3 hingga 17 Mei.

Semakan terhadap penerbangan Malindo Air pula mendapati kadar tiket RM315 ditetapkan pada 26 April dan RM27 April, diikuti RM365 pada keesokkannya serta RM425 pada 30 April, dan RM273 (1 Mei), RM324 (2 Mei) serta 3 hingga 15 Mei (RM235).

Bagi perjalanan Kuala Lumpur-Kuching, harga tiket penerbangan AirAsia berkadar antara RM224 ke RM164 bermula 26 April hingga 3 Mei, manakala RM197 hingga RM165 untuk Malindo Air (perjalanan 27 hingga 8 Mei), manakala RM339 hingga RM209 dengan MAS bagi tempoh sama.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker