Polis kejar suspek punca kesesakan teruk

GUA MUSANG: Polis mengesahkan pihaknya mengejar seorang suspek lelaki yang mengelak daripada pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di Paloh, di sini, menyebabkan berlaku kesesakan teruk seperti tular di media sosial, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata punca kejadian berlaku jam 6 petang Ahad lalu apabila suspek berusia 26 tahun yang memandu Perodua Alza dari arah Gua Musang menghala ke Jeli, membuat pusingan U secara berbahaya bagi mengelak SJR di Jalan Sungai Terah.

“Pihak polis mengejar kenderaan itu dan mengarahkan suspek supaya berhenti dengan menggunakan siren pembesar suara, namun tidak diendahkan.

“Suspek terus memandu dalam keadaan melulu tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain menuju ke Kuala Krai, sebelum dia ditahan di Kilometer 47 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dengan bantuan anggota dari Balai Polis Paloh 2,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang barangan terlarang dalam kenderaan dinaiki suspek.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis benzo dan dia direman selama empat hari serta disiasat mengikut seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seksyen 42(1) APJ 1987,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video di media sosial yang memaparkan kejadian dua kenderaan kereta polis diletakkan di tengah jalan sehingga menyebabkan berlaku kesesakan jalan.

Rakaman berdurasi 30 saat itu dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok ‘Anuar91’ semalam.

BHOnline

Leave a Reply