‘Bersepah’ aktiviti lombong haram di Kedah

Putrajaya: Sebanyak 60 aktiviti perlombongan haram dikesan di seluruh negara dengan kebanyakannya dilaporkan berada di Kedah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu diakui sendiri oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Ada 60 (aktiviti perlombongan haram), sekarang ini pasukan petugas sudah diwujudkan di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Jika berdasarkan laporan di dada akhbar, kebanyakannya membabitkan nadir bumi dan paling banyak sekali adalah di Kedah. Ini diakui Menteri Besar Kedah sendiri (ketika mesyuarat) tadi (semalam),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mineral Negara Ke-2 di sini, tadi.

Turut hadir, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Fadillah berkata, perlombongan haram bukan sahaja merugikan negara terutama dari segi pendapatan, malah memberi kesan kepada negara.

Mengulas lanjut mengenai pasukan petugas terbabit, beliau berkata, ia membabitkan keseluruhan agensi termasuk polis, kastam serta jabatan berkaitan.

“Kita perlu bersama dengan kerajaan negeri untuk pastikan penguatkuasaan ini dijalankan secara efektif (untuk atasi isu perlombongan haram),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata, kerajaan akan membangunkan Dasar Mineral Negara dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Jelasnya, dasar itu akan merangkumi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aktiviti perlombongan khususnya membabitkan nadir bumi.

“Yang menjadi cabaran kepada kita sekarang ini ialah bukan sahaja bagaimana kita nak menguruskan mineral kita secara mampan, pada masa sama mengimbangi sektor ekonomi dan pendapatan negara dan juga untuk pastikan bahawa kemampanan alam sekitar dapat dipelihara.

“Pada masa sama, kita kena kuatkuasakan penguatkuasaan kerana banyak aktiviti perlombongan haram yang sedang berjalan di seluruh negara,” katanya.

Berkaitan SOP perlombongan, Fadillah berkata, setakat ini projek rintis sedang dijalankan di Perak.

Katanya, hasil mineral berpotensi menyumbang kepada pendapatan negara dengan nilai rizab ketika ini berjumlah sekitar RM4 trilion.

Justeru, sebarang aktiviti perlombongan perlu dibuat dengan teratur supaya keperluan ekonomi tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat dan alam sekitar.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker