Rebut hadiah YouTuber: Lelaki mengamuk isteri dirempuh

Sungai Buloh: Video lelaki mengamuk selepas isterinya terjatuh dan dirempuh sekumpulan lelaki yang berlari masuk ke padang bola sepak di Kuang, di sini, tular di media sosial TikTok.

Mereka yang pada mulanya berada di luar padang kemudian menyerbu masuk ke dalam kawasan padang bola sepak itu bagi mendapatkan RM10,000 sebagai hadiah anjuran YouTuber terkenal.

Bagaimanapun berlaku insiden tidak diingini apabila isteri kepada seorang daripada lelaki yang berebut hadiah itu terjatuh dan dirempuh sekumpulan lelaki.

Keadaan menjadi kecoh apabila lelaki itu mengamuk dan memaki hamun selepas isterinya yang dikatakan mengandung terjatuh.

Susulan insiden itu, netizen mempersoalkan kembali tindakan lelaki terbabit membawa isteri ke kawasan yang kurang selamat untuk ibu mengandung.

Ada juga yang menyalahkan terus lelaki terbabit kerana melihat dari video yang tular, isterinya terjatuh apabila terlanggar sesuatu berikutan sama-sama berebut untuk masuk ke dalam padang bagi mengikuti cabaran yang dibuat oleh YouTuber itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian itu berlaku di padang bola sepak di Kuang.

Menurutnya, setakat ini belum ada laporan polis dibuat berkenaan video itu dan semakan lanjut sedang dibuat.

“Ketua Polis Daerah Sungai Buloh akan mengeluarkan kenyataan media nanti berhubung isu ini,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker