Ustaz Kazim jadi hero filem pula

Petaling Jaya: Pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias, 49, bakal bergelar hero filem menerusi filem Zim Zim Ala Kazim arahan Mawi yang mula menjalani penggambaran bulan depan.

Kazim berkata, beliau sudi bekerjasama dan memberi tanggungjawab menghasilkan filem mengenai kisah dirinya itu kepada Mawi kerana yakin dengan kreativiti, hasil kerja dan sentuhannya.

“Sebenarnya sebelum Mawi menyuarakan hasrat untuk membuat filem ini, saya pernah didatangi tiga orang pengarah yang menyatakan minat mereka untuk ambil cerita saya bagi difilemkan



“Bagaimanapun, mungkin belum rezeki lagi ketika itu kerana tunggu punya tunggu, tapi tak ada perbincangan selanjutnya. Malah, ada seorang pengarah itu dikhabarkan jatuh sakit,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem Zim Zim Ala Kazim, di sini, semalam.

Mengulas mengenai Mawi, beliau berkata, juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu dilihatnya sangat bersungguh-sungguh dan komited dalam mengatur perancangan untuk merealisasikan filem berkenaan.

“Saya nampak Mawi boleh bawa filem ini seperti dalam skrip yang ditulis. Saya juga yakin Mawi dapat siapkannya sebagaimana yang saya inginkan untuk disampaikan kepada penonton.

“Lagipun, pengalaman ini daripada saya dan insya-Allah saya boleh bawa watak saya sebaik mungkin dengan menjadi diri sendiri. Saya cuma harap filem ini akan diterima baik oleh penonton dan berjaya,” katanya.



Selain Ustaz Kazim, filem dengan bajet sebanyak RM500,000 yang dikeluarkan Mawi itu turut menampilkan lakonan Along Cham, Syanie Hisham, Danial Zaini, Sharif Kadir, Santesh, Zarina Anjoulie dan ramai lagi.

Penggambaran dijangka bermula pada 9 Mei sehingga 23 Mei depan membabitkan lokasi di Perak. Ia dijangka ditayangkan di saluran Astro First pada Oktober nanti sempena sambutan Maulidur Rasul.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button