2 Minah rempit kena cekup

AKSI dua wanita berlumba motosikal bersama empat lelaki selain melakukan aksi ‘zig zag’ dan ‘superman’ serta menunggang secara berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara mengundang padah apabila ditahan polis, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, dalam kejadian 1.15 pagi, Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman membuat pemantauan operasi samseng jalanan dan melihat enam motosikal ditunggang empat lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 27 tahun.

Menurutnya, ketika itu mereka sedang melakukan aksi bersaing sesama sendiri, meniarap di atas motosikal sambil meluruskan dua belah kaki ke belakang, aksi zig-zag dan aksi menunduk badan di Kilometer 257 sehingga Kilometer 269 yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya.



“Malah dua wanita terbabit menunggang motosikal lebih laju daripada lelaki terbabit ketika bersaing sesama sendiri.

“Polis kemudian menahan mereka selepas suspek berhenti di kawasan sebuah stesen minyak di Taman Teknologi, Sungai Besi, 1.40 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mereka bersama motosikal Yamaha Lagenda ZR, Yamaha Y15ZR, Yamaha LC135, dan Yamaha Y15 kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button