Inkues kematian ‘Baby Syifaa’ 30 Mei ini

KUALA LUMPUR: Inkues berkaitan kematian seorang bayi perempuan berusia 15 bulan ketika dalam jagaan di sebuah pusat asuhan di Seremban, Negeri Sembilan pada Februari lalu, akan dimulakan pada 30 Mei ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata siasatan polis berkaitan kes itu sudah selesai dan kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, baru-baru ini.

“Pihak polis sudahpun merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara dan arahan supaya inkues diadakan.



“Sehubungan itu, pihak mahkamah menetapkan 30 Mei ini sebagai tarikh permulaan inkues,” katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian 22 Februari lalu itu, bayi berkenaan, Nour Rania Asyifaa Yuseri, ditemui tidak sedarkan diri selepas lehernya tersangkut pada kain buaian di pusat asuhan terletak di Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Media sebelum ini melaporkan, Nour Rania Asyifaa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Sendayan pada jam 4.30 petang selepas seorang wanita yang juga pengasuhnya membawa mangsa ke klinik itu untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, dilpetik sebagai berkata polis merakam keterangan 18 individu termasuk pengasuh dan ibu bapa kepada bayi dan kanak-kanak yang dihantar ke pusat asuhan terbabit.



Katanya, hasil bedah siasat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban merumuskan punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher.

Nanda berkata, hasil siasatan awal mendapati pusat jagaan kanak-kanak itu juga tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beroperasi sejak penghujung tahun 2019.

Beliau turut dipetik berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Pada 30 Mac lalu, bapa bayi terbabit sebelum ini turut dilaporkan meluahkan rasa tidak puas hati dengan perkembangan siasatan polis yang didakwa belum menunjukkan sebarang perkembangan positif.



Justeru, bapa bayi malang itu, Yuseri Yusoff, 39, yang mahukan keadilan kepada arwah anaknya memberi tempoh dua minggu kepada polis untuk mengemukakan hasil siasatan selanjutnya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button