‘Nak pinjam, tinggal sini kad ATM’

SERDANG: Seramai 10 ditahan termasuk tiga wanita ditahan polis dalam satu operasi baru-baru ini selepas didakwa menawarkan pinjaman wang yang tidak wujud di media sosial.

Suspek berusia antara 25 hingga 39 tahun itu ditahan dalam serbuan di sekitar Puchong, Gombak dan Kuala Lumpur dalam operasi antara 14 April lalu hingga hari ini.

Suspek dikatakan menjerat mangsa untuk menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) sebagai cagaran dalam modus operandi penipuan itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata mangsa bukan sahaja tidak mendapat pinjaman yang dimohon malah kad ATM milik mereka juga digunakan sindiket bagi tujuan penipuan.

“Siasatan awal mendapati kumpulan ini beroperasi sejak tahun lalu dan pemilik kad disyaki menjual kad ATM mereka kerana terpedaya dengan iklan pinjaman wang dalam Facebook yang meminta mereka untuk menyerahkan kad ATM sebagai cagaran.

“Siasatan mendapati kad ATM itu dijual kepada sindiket yang menjalankan penipuan dengan harga lebih RM2,500 bagi setiap keping,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat penipuan pinjaman tidak wujud, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menjalankan satu operasi.

“Seramai 10 ditahan dan polis turut merampas lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama, 38 keping kad ATM pelbagai bank tempatan. Turut dirampas adalah 20 keping kad Sim MYTPG (Singapura), sejumlah wang tunai RM 3,957, sebuah kereta jenis Perodua Axia, sebuah Pouch Bag, dua buah dompet, dua keping sampul surat kurier dan sekeping kad pengenalan milik tempatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana terbabit sindiket penipuan

” Saya nasihatkan mangsa tampil dan membuat laporan bagi menyelesaikan isu ini sekali gus dapat membantu pihak polis kerana ada mangsa tidak mengetahui kad ATM dan akaun mereka digunakan dalam aktiviti jenayah.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dan sentiasa berwaspada serta membuat semakan di dalam sosial media atau individu yang menawarkan untuk membeli kad ATM di pasaran,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker