Pengeluaran khas KWSP sokong pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR: Pengeluaran khas simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka memberi impak positif kepada pemulihan ekonomi negara dengan peningkatan perbelanjaan serta mengurangkan beban hutang dalam kalangan rakyat, demikian kata penganalisis.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pengeluaran wang caruman terkini di bawah skim pengeluaran khas KWSP itu dianggar menyaksikan lebih RM40 bilion wang tunai masuk ke dalam pasaran.

Beliau berkata, dari kaji selidik yang dijalankan oleh KWSP, 40 peratus akan membelanjakan untuk keperluan seharian dan 23 peratus untuk membayar hutang.

Katanya, jika 40 peratus daripada RM40 bilion akan dibelanjakan untuk keperluan seharian, ia bermakna sekurang-kurangnya RM16 bilion akan masuk ke pasaran, bersamaan dengan satu peratus daripada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan Malaysia.

“Ini sedikit sebanyak akan membantu ke arah pemulihan ekonomi negara dan meningkatkan kecairan di pasaran.

“Jika pencarum membayar hutang, kesan terhadap ekonomi negara agak minimum kerana wang berkenaan masuk ke dalam akaun bank komersial dan tidak masuk ke pasaran, namun sekurang-kurangnya dapat memastikan kewangan individu semakin pulih kerana hutang berkurangan,” katanya kepada BH.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata seperti skim pengeluaran caruman KWSP sebelum ini, iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, pengeluaran khas dijangka memberikan impak positif kepada perbelanjaan rakyat, memperbaiki kedudukan hutang isi rumah serta merangsang semula ekonomi negara.

Beliau berkata, ia membantu merancakkan perniagaan terutama sektor runcit, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan juga perniagaan dalam sektor tidak formal.

Katanya, ia dipacu oleh peningkatan dalam penggunaan swasta, dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi negara dengan pengukuhan dalam pertumbuhan permintaan domestik yang dijangka menjadi satu daripada faktor penting untuk mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini pada sekitar 5.3 peratus kepada 6.3 peratus.

“Skim itu adalah satu daripada instrumen penting sebagai pemangkin untuk membina semula kehidupan rakyat dalam kita menuju ke fasa endemik dan juga membina semula kehidupan akibat kesan banjir teruk yang berlaku pada awal tahun ini.

“Ia juga memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat yang begitu terkesan dengan kenaikan dalam kos sara hidup pada ketika ini dan juga memberikan sedikit kebahagiaan dalam persediaan perayaan Aidilfitri,” katanya.

Irwan Shah berkata, walaupun nisbah hutang isi rumah kepada KDNK Malaysia masih tinggi, iaitu antara yang tertinggi di rantau ini, ia sudah menampakkan trend penurunan, iaitu daripada 93 peratus pada awal tahun lalu kepada 89 peratus pada Disember 2021.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas daripada ahli KWSP yang memohon kemudahan itu, sekitar 26 peratus menyatakan bahawa pengeluaran berkenaan akan digunakan untuk membayar tunggakan hutang.

Katanya, dengan pengurusan kewangan peribadi yang lebih baik, nisbah kadar hutang isi rumah dijangka boleh berkurangan dengan prospek ekonomi dijangka lebih baik pada tahun ini.

“Dengan jangkaan peningkatan dalam penggunaan swasta serta aktiviti perniagaan yang semakin rancak, ini dijangkakan mempercepatkan lagi proses pemulihan ekonomi negara ditambah lagi dengan pembukaan sempadan antarabangsa pada 1 April lalu yang akan melegakan ramai peniaga yang begitu terjejas sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ada beberapa sisi yang boleh dilihat membabitkan impak pengeluaran khas KWSP itu dengan pertama, dari sudut penggunaan swasta, wang simpanan KWSP yang dikeluarkan boleh memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, ia berikutan kecenderungan untuk berbelanja dalam kalangan rakyat Malaysia adalah tinggi dan ia seharusnya bakal memberi impak positif kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

Katanya, bagi peniaga mikro, kecil dan sederhana, sudah pasti terdapatnya permintaan yang tinggi terutama dalam konteks menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Pergerakan wang yang pantas ini pasti akan merancakkan ekonomi domestik. Selain itu, mungkin ada juga ahli KWSP yang mahu melaburkan wang simpanan mereka di dalam pelbagai instrumen pelaburan terutama yang berkaitan dengan emas. Ini bererti, ahli itu sedang mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka.

“Namun, mereka harus cakna dengan tahap risiko yang diambil kerana wang dilaburkan melalui KWSP diurus oleh pengurus dana yang berpengalaman. Sudah pasti profil pulangan dan pelaburannya berbeza apabila kita melabur sebagai individu,” katanya.

Bagi mereka yang mahu mengurangkan hutang pula, Mohd Afzanizam berkata, perbuatan itu sudah pasti dapat meningkatkan pendapatan boleh guna kerana hutang yang berjumlah kecil telah pun dapat dilangsaikan.

Beliau juga mengingatkan ahli KWSP supaya perlu bijak dalam membuat pertimbangan kerana wang yang dibelanjakan itu adalah wang simpanan yang sepatutnya digunakan sewaktu mereka bersara nanti.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker