Roti John enam variasi inti

Kota Bharu: Tampil unik dan kreatif dengan mencipta enam variasi inti roti John sebagai ‘pelaris’ menjadi rezeki kepada seorang peniaga yang kini mampu meraih pulangan lumayan.

Peniaga Roti John Ketagih cawangan Kubang Kerian, Muhamad Azhar Zainudin, 36, berkata, dia mula mengusahakan perniagaan itu bersama dua rakan sebayanya, Mohd Hafiz Hamid dan Mohd Shahrieman Abdul Hamid pada Mac 2020.

Menurutnya, idea untuk mengusahakan menu bermusim itu timbul apabila kedua-dua rakannya yang bekerja sebagai peniaga pasar malam sebelum ini hilang punca pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).



“Dari situ kami bertiga mula mendapat idea untuk berniaga roti john memandangkan masih tidak ramai yang mengusahakan menu bermusim itu terutama pada bulan biasa melainkan ia hanya mudah diperoleh pada Ramadan.

“Sebagai permulaan kami mencuba nasib membuka kedai di Pintu Geng, Kota Bharu dengan menawarkan roti John berserta tiga pilihan inti iaitu ayam, daging lembu dan kambing menggunakan resipi tersendiri sehingga mampu terjual sekitar 200 biji sehari,” katanya ketika ditemui di Kubang Kerian, di sini.

Bercerita lanjut, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, selepas melihat roti John yang diusahakan bersama dua rakan mendapat permintaan tinggi membuatkan dia mengambil keputusan membuka cawangan di Kubang Kerian Januari tahun lalu.



Menurutnya, antara kelainan yang diketengahkan adalah inti roti John berkenaan tidak dikisar halus, tetapi dicincang kasar untuk memastikan pelanggan dapat merasa tekstur inti yang dihasilkan.

Untuk mempelbagaikan lagi perisa, dia menawarkan tiga inti baharu pada pertengahan tahun lalu iaitu makanan laut, sardin dan juga peperoni selain pelanggan mempunyai pilihan untuk menambah keju.

“Hampir setiap hari saya memerlukan sekitar 300 biji telur untuk memenuhi permintaan pelanggan dan mampu menjual sehingga mencecah sekitar 200 hingga 350 biji roti john sehari,” katanya yang mampu meraih hasil jualan sehingga mencecah puluhan ribu Ringgit.

Muhamad Azhar yang juga lepasan Diploma Kejuruteraan Awam dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang berkata, memandangkan harga telur kini semakin mahal, dia terpaksa menaikkan harga sebanyak 50 sen untuk setiap biji roti John tahun ini.



“Walaupun harga terpaksa dinaikkan sedikit berbanding tahun lalu, kebanyakan pelanggan terutama pelanggan tetap memahami kenaikan itu memandangkan kebanyakan harga barangan mentah semakin mahal,” katanya.

Sementara itu, pelanggan, Muhammad Amir Arifin, 21, berkata, roti John yang diusahakan Muhamad Azhar menjadi menu pilihannya hampir setiap minggu.

“Rotinya sangat lembut apabila dimakan selain inti juga terasa kerana sangat padat selain rasa resipi roti John itu sendiri berjaya memikat hati saya.



“Rasanya unik, selain berbeza dengan roti John yang terdapat di kedai lain,” katanya.

METRO

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button