Ustaz Wadi Annuar nafi tuduhan Jabatan Mufti Perlis

Kuala Lumpur: Penceramah bebas terkenal, Ustaz Wadi Annuar menafikan dakwaan Jabatan Mufti Perlis mengenai kenyataannya melalui satu video bertujuan menimbulkan permusuhan sesama Muslim tanpa alasan yang sah.

Ustaz Wadi atau nama sebenarnya, Mohamad Wadi Annuar Ayub berkata, tuduhan itu sangat melampau kerana video itu adalah potongan daripada rakaman penuh video ceramahnya di Langkawi, Kedah pada 2017 dan bukannya ketika Ramadan seperti didakwa pihak berkenaan.

“Melalui potongan video itu, saya langsung tidak menyebut dan atau mengaitkan mana-mana negeri dalam negara ini termasuk Perlis sebagaimana yang didakwa.



“Saya percaya kenyataan saya berkaitan isu sujud yang menjadi subject matter dalam kenyataan jabatan itu adalah pandangan saya sebagai pendokong mazhab Shafie.

“Saya selanjutnya menegaskan intipati video itu adalah berkaitan pandangan peribadi saya yang diulas berdasarkan kepada pandangan ulama yang selari dan selaras dengan Ali Sunnah Wal Jamaah serta keseragaman amalan fiqah di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berpandangan, tatacara sujud dalam solat dengan mendahulukan tangan sebelum lutut ketika hendak sujud adalah khilaf dalam fiqah.

“Kita seharusnya menghormati dan meraikan semua pendapat muktabar dalam mazhab dengan tidak menyalahkan pendapat yang lain serta meraikan suasana serta amalan solat mengikut aliran arus perdana di negara ini iaitu mazhab Shafie.



“Tujuan saya membuat ulasan sedemikian adalah untuk menyatakan kepada masyarakat peri pentingnya mengutamakan pengamalan mazhab Syafiee selaku mazhab arus perdana bagi memastikan keseragaman dalam amalan beribadah demi mencapai perpaduan dan mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat.

“Saya dengan tegas menafikan dakwaan jabatan itu bahawa kenyataan saya melalui video itu bertujuan menimbulkan permusuhan sesama Muslim tanpa alasan yang sah,” katanya.

Katanya, tindakan jabatan itu yang hanya membuat penilaian berdasarkan kepada video berkenaan tanpa membuat semakan yang wajar dan terperinci mengundang fitnah, menimbulkan kebencian serta salah sangka dalam kalangan masyarakat terhadapnya.

“Saya percaya adalah sangat wajar untuk jabatan itu bersikap profesional dengan memperbetulkan semula persepsi negatif yang timbul daripada kenyataan itu supaya kepercayaan masyarakat awam apatah lagi terhadap sebuah jabatan yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan fatwa dan irsyad dapat dikekalkan,” katanya.



Kelmarin, Jabatan Mufti Perlis dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ustaz Wadi yang mendakwa negeri itu mengeluarkan kenyataan peraturan sujud dalam solat iaitu mendahulukan tangan sebelum lutut ketika hendak bersujud dalam solat.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button