20 jam dalam peti sejuk selamat nyawa
Manila: Tindakan pantas seorang kanak-kanak lelaki melompat masuk ke dalam peti sejuk yang rosak, menyelamatkannya daripada menjadi mangsa kejadian tanah runtuh di Filipina, baru-baru ini.
Rakaman menarik menunjukkan CJ Jasme, 11, ditarik ke tempat selamat, selepas dia berada di dalam peti sejuk di dalam lumpur tebal itu, lapor Metro UK.
Berdasarkan foto dan video yang tular, ketika mangsa ditemukan, keadaan peti sejuk itu tidak mempunyai pintu.
DigelarĀ Boy in the Ref, CJ berada di rumah bersama keluarganya apabila banjir lumpur dicetuskan oleh Ribut Tropika Megi melanda kampung mereka di Baybay City di wilayah Leyte, baru-baru ini.
Ketika lumpur dan batu memenuhi rumah mereka, CJ masuk ke dalam peti sejuk yang rosak, di mana dia berada di situ, selama 20 jam berikutnya.
Pengawal pantai kemudian tiba di tempat kejadian dan membantu menarik peti sejuk berkenaan.
Susulan kejadian, kaki mangsa patah, tetapi dia masih sedarkan diri.
Walaupun CJ terselamat, namun nasib keluarganya masih belum diketahui.
Setakat ini, apa diketahui adalah adik lelakinya yang berusia 13 tahun mungkin berjaya melarikan diri.
Bagaimanapun, ibu dan seorang lagi adiknya yang lain masih hilang.
Hanya sehari sebelum itu, satu lagi tanah runtuh melanda kawasan penempatan di kaki gunung berkenaan yang mengakibatkan ayahnya meninggal dunia.
CJ antara puluhan kanak-kanak yang menjadi yatim piatu selepas Ribut Tropika Megi dikenali di Filipina sebagai Ribut Tropika Agaton melanda negara berkenaan.
METRO