Bapa tanggung ujian berat, dua anak hidap skoliosis sejak lahir

KUALA LUMPUR: Diuji dengan kedua-dua anak menghidap skoliosis sejak lahir, Mooi Kai Yip, 37, tidak pernah berputus asa, sebaliknya terus cekal dan berusaha mendapatkan rawatan terbaik untuk mereka.

Kai Yip berkata, anak sulungnya, Mooi Zhen Hoong, 14, disahkan menghidap penyakit itu ketika berusia enam bulan, manakala adiknya, Mooi Hew Tong, 12, pada usia dua bulan.

Pada mulanya, beliau perasan tulang belakang badan Zhen Hoong yang ketika itu enam bulan, tidak seperti anak lain kerana ia seakan berbentuk C.

“Saya tengok badan dia macam ada yang pelik, ditambah pula badannya yang kurus, mudah untuk saya nilai bentuk badannya,” katanya.



Beliau berkata, setakat ini Zhen Hoong sudah menjalani lima kali pembedahan bagi menambah besi pada tulang belakang badannya dan operasi perlu dilakukan setiap kali ketinggiannya bertambah.

Adiknya pula, tidak menjalani operasi kerana tulang belakang yang hanya sedikit bengkok dan berbentuk S, namun dia masih memerlukan bantuan pendakap skoliosis bagi membantu menahan tulang belakang daripada terus membengkok.

Kai Yip yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang berkata, setiap bulan mereka perlu melakukan pemeriksaan di sebuah pusat perubatan yang tidak jauh dari kediaman iaitu sekitar 20 minit, katanya.

Beliau berkata, dua beradik ini tidak dapat mengangkat barangan yang berat termasuk bersukan di sekolah, kerana risau ia akan memberi kesan kepada tulang belakang mereka.



“Kos perubatan bagi rawatan selepas ini masih belum diketahui. Ia dapat diketahui pada temu janji akan datang di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

“Saya sedih sebab kedua-dua anak saya hidap penyakit ini, tetapi sebagai seorang ayah, saya sanggup bawa anak saya ke mana-mana sahaja untuk tujuan operasi.

“Selain di Kuala Lumpur, saya pernah bawa Zhen Hoong melaksanakan operasi tulang belakang di Sarawak, katanya.

Beliau berharap orang ramai dapat membantu dengan memberi dana untuk merawat kedua-dua anaknya yang menghidap skoliosis.

“Saya berharap orang ramai sudi membantu kerana walaupun bekerja, ia tidak cukup untuk menampung kos rawatan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang, boleh memberi sumbangan secara cek dan boleh dibayar kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dengan menulis nama pesakit di belakang cek berkenaan. Sila alamatkan cek itu kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad, Tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Pihak yang menderma boleh menghantar e-mel salinan transaksi bank dengan menyatakan nama pesakit kepada [email protected] untuk pengeluaran resit.

Selain itu, sumbangan juga dapat dilakukan menerusi perbankan dalam talian atau deposit kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (MAYBANK: 5141-0532-3170) dengan menulis nama pesakit di bahagian Recipients Reference atau Other Payment Details.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker