Mahkamah tangguh seketika tertuduh pengsan

Georgetown: Persidangan Mahkamah Sesyen Jenayah 2 di sini, hari ini tertangguh seketika selepas orang kena tuduh (OKT) wanita bagi kes penganiayaan terhadap cucu lelakinya jatuh pengsan.

Tertuduh, Rosnah V S Mydin, 48, rebah sewaktu dalam kandang tertuduh ketika pertuduhan terhadapnya sedang dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Bagaimanapun, persidangan diteruskan semula selepas seorang doktor yang secara kebetulan berada di dalam mahkamah sama memeriksa kesihatan wanita itu.



Terdahulu, Rosnah mengaku tidak bersalah atas dakwaan mendera kanak-kanak berusia lima tahun yang juga cucu lelakinya dalam kejadian, di sini, pada bulan ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat Blok H-15-6 Flat Padang Tembak dalam daerah Timur Laut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit kesalahan.



Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Wan Amira Ruzaini memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan bimbang dia akan mengganggu saksi yang juga ahli keluarga mangsa.

Tertuduh mendakwa mempunyai pelbagai penyakit kronik antaranya sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi sebelum dia dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mazdi turut meletakkan tiga syarat tambahan terhadap tertuduh iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan sehingga perbicaraan.



Selain itu, tertuduh perlu menyerahkan pasport serta tidak dibenarkan mengganggu saksi perbicaraan kes itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula bagi tertuduh melantik peguam dan serahan dokumen selain.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button