Mengaku tidak bersalah halang tugas penjawat awam

Georgetown: Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam dengan menakutkannya ketika menjalankan tugas.

Tertuduh Ho Soon Teik, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R Manomani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam, Ahmed Shahjahan Yusoff, 31 tahun daripada melakukan kewajipan yang sah di hadapan Restoran Jack & Grill Western Foods di alamat 288E-1-8 Fortune Court, dalam daerah Timur Laut, di sini, pada jam 9.24 pagi, 14 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, K Mahendren dan Chan Hui Ching merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak melarikan diri dalam kes itu selain mempunyai enam tanggungan dan berpendapatan yang tidak stabil pada ketika ini.

Selepas mendengar permohonan itu, Manomani membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Baru-baru ini tular dua rakaman video menunjukkan seorang lelaki yang dipercayai peniaga sebuah restoran menghalang tugas kakitangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjalankan tugasnya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker