Najib tidak pernah beri tekanan kepada KPMG

Kuala Lumpur: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini menegaskan bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak pernah memberi tekanan kepada KPMG Malaysia untuk menandatangani penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) 2013 semasa mesyuarat antara firma audit KPMG Malaysia dan 1MDB di kediaman bekas perdana menteri di Langgak Duta pada 15 Disember 2013.

Peguam veteran itu berkata demikian ketika merujuk kepada kenyataan saksi rakan kongsi urusan KPMG Datuk Johan Idris, 56.

Muhammad Shafee: Dalam kenyataan saksi anda, anda berkata bahawa Najib mahu akaun 1MDB ditandatangani oleh KPMG sebelum atau pada 31 Disember 2013. Adakah beliau memberi tekanan kepada sesiapa? Adakah dia berkata jika anda tidak menutup akaun sebelum 3 Disember, anda akan dipecat? Adakah dia mengatakan demikian kepada anda?

Johan: Dia ada cakap dia nak tengok akaun ditutup.



Membalas jawapan itu, Muhammad Shafee berkata “Dia (Najib) adalah pemegang saham. Dia bertanggungjawab untuk itu…bukankah pemegang saham mahu melihat akaun syarikatnya yang telah lama tertunggak ditutup pada 31 Disember seperti yang diminta oleh Lembaga Pengarah? Sampai sudah, dia tidak memberi tekanan kepada sesiapa?”.

Bagaimanapun, Johan tidak menjawab sama ada Najib memberi tekanan kepada mana-mana pihak.

Terdahulu, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir, 48, memberi keterangan bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah “tangan tersembunyi” dalam 1MDB kerana pengurusan menerima arahan daripada Jho Low berhubung hal syarikat itu.

Muhammad Shafee menyoal Azmi jika dia pernah menyemak dengan Lembaga Pengarah 1MDB sama ada pengurusan 1MDB boleh bertindak mengikut arahan Jho Low.



Azmi berkata Tan Sri Ismee Ismail (bekas Pengarah 1MDB) memberitahunya bahawa, dalam semua syarikat, ada tangan tersembunyi, dan dalam 1MDB, ia adalah Jho Low.

Muhammad Shafee kemudian bertanya kepada Azmi sama ada beliau, Mohd Hazem Abdul Rahman (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) dan Vincent Koh (bekas Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB) pergi menonton perlawanan separuh akhir Piala Dunia Brazil 2014 dengan Jho Low menaiki jet peribadi.

Muhammad Shafee: Anda menaiki jet peribadi Jho Low?

Azmi: Saya tidak setuju.

Peguam itu kemudian meminta Azmi menunjukkan pasportnya supaya pihak pembelaan dapat mengesahkan sama ada dia pernah melakukan perjalanan ke Brazil atau tidak.

“Jika saya ada pasport bersama saya, saya akan tunjukkan,” jawab Azmi.

Muhammad Shafee, yang kesal dengan jawapan Azmi, bertanyakan mengapa dia teragak-agak untuk mendedahkan keberadaannya itu.

“Saya pernah menaiki jet peribadi tetapi perjalanan itu tidak membabitkan Jho Low. Kawan saya ada meminta saya berkunjung ke Singapura,” kata Azmi.

Muhammad Shafee kemudian bertanya siapakah rakannya tetapi Azmi enggan mendedahkan namanya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mengingatkan Azmi bahawa dia perlu menjawab soalan Muhammad Shafee.

“Jika anda enggan menjawab, anda perlu menyatakan alasan,” kata hakim.

Azmi menjawab: “Saya tidak mahu nama itu keluar di dalam berita. Ini adalah kes berprofil tinggi.”

Peguam itu kemudian berkata beliau akan terus menyoal mengenai pasport berkenaan apabila Azmi memberi keterangan semula selepas cuti Aidilfitri nanti.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 9 Mei.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker