Nilai ringgit di paras terendah sejak Jun 2020

Ringgit Weakening

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit terus susut berbanding dolar AS dalam dagangan awal pagi ini berikutan potensi kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Pada 9.09 pagi, mata wang tempatan jatuh kepada 4.3045/3080 berbanding dolar AS daripada penutup Khamis pada 4.2875/2910

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit akan terus kekal lemah menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 3 dan 4 Mei.

“Masalah yang kita lihat pada masa ini ialah kita dihujani dengan pelbagai pandangan yang datang daripada pegawai Rizab Persekutuan AS. Sesetengah pihak mungkin lebih suka kenaikan secara agresif manakala ada pula yang memilih untuk melakukan penurunan yang lebih ketara dalam pengurangan imbangan kira-kira.

“Pandangan yang pelbagai ini telah menyelubungi pertimbangan pasaran yang mengakibatkan penyongsangan keluk hasil pada awal April yang kemudiannya telah menghidupkan semula idea tentang kemelesetan yang akan berlaku,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata secara ringkas, terdapat penghindaran risiko yang berlebihan pada masa ini yang boleh mendorong kepada mata wang selamat yang lebih tinggi.

“Sehingga ketidaktentuan yang berlebihan ini dapat diredakan, kita akan terus melihat ringgit yang lebih lemah dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kenaikan 50 mata asas pada Mei dan Jun telah diperkukuhkan lagi oleh pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell

“Tetapi Presiden Rizab Persekutuan San Francisco Mary Daly ada menyebut kemungkinan kenaikan 75 mata asas. Kita melihat kenaikan 50 mata asas kini telah diambil kira sepenuhnya untuk mesyuarat Julai Fed tetapi pada masa yang sama sepatutnya turut menjangkakan penetapan 75 mata asas bagi bulan Mei dan Jun,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.3488/3517 daripada penutup Khamis 3.3478/3508 tetapi meningkat berbanding euro kepada 4.6665/6703 daripada 4.6794/6832 semalam.

Nilai ringgit turut merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1542/1570 daripada penutupan Khamis 3.1496/1524 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.6070/6116 daripada 5.6003/6049.

Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker