Pemangku Raja Pahang ajak anak muda lestarikan alam sekitar

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak anak muda untuk bersama melestarikan alam sekitar sempena sambutan Hari Bumi pada 22 April setiap tahun.

Baginda bertitah, anak muda diharap dapat bersama menggalas tanggungjawab dengan bertindak segera untuk memacu perubahan secara kolektif dan mengawal masa depan.

Pada masa sama, titahnya, semua pihak perlu melakukan perubahan bersifat transformasi bukan sahaja dari segi minda, malah dalam setiap aspek kehidupan bagi memastikan bumi ini dapat dilestarikan sebaik-baiknya.

“Pandemik COVID-19 disebabkan virus daripada ekosistem semula jadi yang masuk ke ekosistem baharu sehingga menjangkiti tubuh manusia adalah iktibar penting akibat alam semulajadi yang diterokai sewenang-wenangnya.

“Pemulihan sosioekonomi COVID-19 tidak akan lengkap jika kita masih gagal meletakkan keutamaan pada kesihatan planet,” titahnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Biarpun kesedaran dan keprihatinan alam sekitar semakin meluas berlaku secara dramatik sejak lima dekad lalu, baginda bertitah, namun kegiatan manusia terus berleluasa.

Baginda bertitah, kegiatan itu juga hingga merosakkan jaringan hidup yang menjadi pergantungan kita untuk mendapatkan sumber makanan, sumber air, udara bersih dan sebagainya.

“Berdasarkan penilaian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2019, dianggarkan 60 peratus perkhidmatan ekosistem semula jadi semakin terancam dengan ketara, yang mana ancaman kepupusan sejuta spesies flora dan fauna akan berlaku menjelang 2050,” titahnya.

Tengku Hassanal bertitah, tindakan segera dan perancangan jangka panjang perlu dilakukan untuk mengelak kehilangan sumber kepelbagaian biodiversiti, perubahan iklim dan ketandusan tanah.

“Tidak cukup hanya menjadi pemerhati. Setiap daripada kita perlu memikul tanggungjawab bersama.

“Kerajaan, institusi perniagaan dan kewangan, pertubuhan bukan kerajaan, dan setiap warganegara perlu tampil untuk memulihkan kerosakan alam semula jadi dan perubahan iklim,” titahnya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker