Penyamun rampas telefon bimbit, pukul wanita diburu

Kuala Lumpur: Wanita cedera dipukul dengan kayu oleh lelaki yang dipercayai cuba menyamunnya di hadapan sekolah di Persiaran Dutamas di sini, semalam.

Kejadian 8.53 malam itu tular selepas wanita warga asing berusia 26 tahun terbabit memuat naik gambar dan video kejadian di Instagram.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada 10.04 malam.



Menurutnya, berdasarkan laporan, ketika kejadian mangsa dan seorang rakannya sedang berjalan menuju ke pusat beli-belah berhampiran sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal.

“Mangsa merakam aksi kedua-dua lelaki itu menggunakan telefon bimbit selepas menyedari perbuatan mereka mencurigakan.

“Pengadu mendakwa suspek berpusing semula lalu menghampirinya dan cuba merampas telefon bimbit miliknya.

“Berlaku pergelutan antara mereka menyebabkan suspek memukul belakang badan pengadu menggunakan kayu sehingga cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Beh berkata, mangsa kemudian berlari ke arah sekolah berdekatan untuk meminta bantuan, menyebabkan suspek beredar sebaik menyedari pengawal keselamatan sekolah membantu mangsa.

Akibat kejadian itu, katanya, mangsa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan doktor mengesahkan mangsa alami kesan lebam di belakang badan akibat dipukul menggunakan objek tumpul.

Beliau berkata, polis kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 393/323 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun dan mendatangkan kecederaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Nor Hafizullah Norahim di talian 017-2232031 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button