Berebut pelanggan punca gaduh

KOTA BHARU: Tujuh individu berusia antara 19 hingga 30 tahun ditahan berkaitan pergaduhan sekumpulan lelaki di sebuah pasar raya di sini, malam tadi.

Pergaduhan itu berpunca daripada isu berebut pelanggan antara dua pekerja premis perniagaan telefon bimbit dalam pasar raya itu yang berebut pelanggan dalam kejadian jam 9.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mereka saling tidak puas hati dan bertelingkah sehingga mereka membawa rakan masing-masing dan berlaku pergaduhan di dalam dan luar pasar raya.

“Kita menerima dua laporan daripada kedua pihak berhubung kejadian dan tujuh individu yang berumur antara 19 hingga 30 tahun sudah ditahan.



“Antara yang ditahan adalah bekerja sebagai pembantu kedai, buruh, pemandu lori dan petani dan ujian saringan yang dibuat mendapati semua negatif.

“Bagaimanapun hasil semakan, lima daripada mereka mempunyai rekod lampau bersabit jenayah dan dadah,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, semua mereka dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut namun tiada kecederaan serius dilaporkan.

Beliau berkata, semua suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama lima tahun atau denda atau keduanya sekali.



Beliau berkata, pihaknya masih mengesan beberapa lagi individu lain yang turut terbabit dalam insiden berkenaan.

“Terdapat tiga rakaman video berkaitan kejadian dengan durasi tujuh, 27 dan 31 saat dimuat turun dalam Facebook dan kita sedang mengesan beberapa suspek lain yang terbabit.

“Kami menasihatkan orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri terhadap sesuatu perkara yang berlaku kerana ia menyalahi undang-undang.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker