Motosikal bergesel 3 remaja maut, 1 parah

PASIR GUDANG: Tiga remaja berusia 16 hingga 17 tahun meninggal dunia dalam nahas membabitkan tiga motosikal di Jalan Delima, Taman Kota Masai, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sekumpulan remaja lelaki itu berlaku pada jam 10.30 malam.

“Nahas dipercayai ketika kesemua mangsa menunggang atau membonceng motosikal dan masing-masing bersaing sesama sendiri sehingga bergesel dan berlaku kemalangan.

“Tiga mangsa tercampak di atas jalan dan terlanggar batu pada bahu kiri jalan, manakala seorang mangsa jatuh di bahu kanan jalan. Kesemua mangsa yang meninggal dunia adalah remaja berusia 15 hingga 16 tahun, manakala yang parah berusia 17 tahun.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut saksi, seorang daripada mangsa ditemukan dalam keadaan mengerikan dengan kepala pecah dan semua mereka dipercayai sahabat baik dan berasal dari kawasan berhampiran lokasi kejadian.

Beberapa pengguna jalan raya turut merakam video kejadian dan dikongsi di laman Facebook hingga menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Mohd Sohaimi menasihatkan orang ramai, terutama ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak terutama yang masih di bawah umur, termasuk tidak membenarkan mereka menunggang motosikal di jalan raya dan tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker