Selangor catat lebih separuh kes baharu COVID-19

PUTRAJAYA: Sebanyak 6,342 kes baharu COVID-19 dilaporkan setakat semalam dan lebih separuh daripada jumlah berkenaan direkodkan di Selangor dengan 3,819 kes dicatatkan di negeri berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan itu menjadikan sehingga kini sebanyak 4,421,443 individu sudah dijangkiti virus itu.

Selain Selangor, kes baharu COVID-19 turut dilaporkan di Kuala Lumpur dengan 716 kes baharu, diikuti Negeri Sembilan (344), Perak (343), Pulau Pinang (223), Sabah (149), Sarawak (142), Johor (134) dan Melaka (124).

Pertambahan kes baharu turut disumbangkan oleh Putrajaya dengan 105 kes baharu, Kedah (91), Pahang (61), Terengganu (39), Kelantan (34), Labuan (11) dan Perlis (7).

“Kes baharu yang dilaporkan semalam itu membabitkan 6,322 kes penularan tempatan dengan 20 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Secara keseluruhannya, daripada kes baharu yang direkodkan itu, kategori paling tinggi yang dikesan adalah kategori dua dengan 57.27 peratus atau 3,632 kes. Ia diikuti kategori satu dengan 2,668 kes, kategori lima (22), kategori tiga (14) dan kategori empat (6).

“Keseluruhan 42 kes dalam kategori tiga hingga lima itu terdapat 23 kes membabitkan individu yang mempunyai komorbid, masing-masing 15 kes membabitkan indvidu berumur 60 tahun keatas serta sudah menerima dos penggalak, sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (14) dan tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksin (13),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, semalam terdapat dua kluster baharu penularan COVID-19 yang dikesan oleh pihaknya, ia menjadikan sehingga kini terdapat 100 kluster yang masih aktif di negara ini.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan sehingga kini terdapat sebanyak 85,403 kes aktif dengan kebolehkjangkitan COVID-19 masih ada di negara ini.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 83,528 kes bersamaan 97.8 peratus sedang menjalani kuarantin wajib di rumah manakala, seramai 1,657 kes atau 1.9 peratus lagi sedang mendapatkan rawatan di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) (127).

Selain itu seramai 61 individu berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan serta 30 individu tidak memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, dalam laman sesawang COVIDNOW memaklumkan terdapat 12 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam, sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan berkenaan meningkat kepada 35,482 kes.

Kes kematian itu termasuk dua kes di luar fasiliti kesihatan (BID). Perkembangan itu menjadikan sehingga kini sebanyak 7,511 kes kematian membabitkan pesakit COVID-19 direkodkan sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Memperincikan mengenai kes kematian yang dilaporkan semalam, masing-masing tiga kes dilaporkan di Johor dan Melaka, masing-masing dua kes dicatatkan di Pulau Pinang dan Selangor serta masing-masing satu kes di Sabah serta Sarawak.

Bagi dua kes BID yang dilaporkan semalam, masing-masing satu kes direkodkan di Melaka dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kes sembuh di negara ini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 9,111 kes dilaporkan menjadikan sehingga kini jumlah kes pulih daripada jangkitan berkenaan kini meningkat kepada 4,300,558 kes.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker