4 planet sekali lagi dalam jajaran dirakam

Putrajaya: Empat planet sekali lagi berada dalam jajaran himpunan sebaris atau dikenali sebagai konjungsi di ruang langit Malaysia pada Subuh semalam.

Malah menurut Agensi Angkasa Malaysia (Mysa), imej Zuhal, Marikh, Zuhrah dan Musytari yang muncul pada April lalu itu berjaya dicerap Observatori Negara Langkawi di Kedah dan dirakamkan pada jam 6.11 pagi.

Katanya, konjungsi merupakan fenomena nyata yang disebabkan oleh perspektif pemerhati dari bumi iaitu objek cakerawala dilihat seumpama fizikalnya berdekatan sekiranya dilihat dengan mata kasar.



“Bagaimanapun, sebenarnya kedudukan objek berkenaan adalah terletak berjauhan dari satu sama lain di angkasa,” katanya yang ditulis di laman sosial rasminya hari ini.

Sebelum ini pada 6 April lalu, peminat sains falak tempatan teruja apabila berpeluang menyaksikan sendiri himpunan empat planet berkenaan secara serentak selepas waktu Subuh.

Fenomena alamiah nadir itu didedahkan oleh pakar astronomi terkenal tanah air yang juga pengasas laman sesawang sains angkasa Falak Online, Shahrin Ahmad melalui akaun sosialnya.

Beliau yang merupakan Ahli Jawatankuasa Falak Negeri Selangor berkata, pada masa itu lokasi bintang Alnitak, Alnilam dan Mintaka hampir sahaja menunjuk ke arah bulan.



Pada penghujung Mac lalu rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena lintasan tiga planet serentak membabitkan Zuhrah, Marikh dan Zuhal tidak jauh dari bulan selama dua hari berturut-turut.

Hari ini Shahrin menerusi hantaran terbaharunya turut mengesahkan himpunan empat planet itu sebenarnya sudah pun dapat dilihat di Malaysia pagi Jumaat lalu.

Malah, berdasarkan komen beberapa warganet tempatan terdapat sesetengah lokasi yang telah berjaya menyaksikan fenomena konjungsi planet berkenaan sehari sebelum.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button