Kelantan rekod 943 kes HFMD setakat ini

Kota Bharu: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kelantan membimbangkan apabila merekod sebanyak 943 kes dalam tempoh Januari hingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ia menunjukkan peningkatan berbanding 290 kes dicatatkan pada tahun lalu.

Katanya, peningkatan ketara itu disebabkan pada musim ini banyak kes yang dilaporkan berlaku dalam kalangan kanak-kanak sama ada di taska, tadika atau di rumah.



“Jangkitan kes paling tinggi adalah di Kota Bharu iaitu sebanyak 438 kes, diikuti Tumpat (92 kes), Tanah Merah (83 kes) dan Pasir Puteh (78 kes).

“Selain itu, daerah lain iaitu Gua Musang (58), Pasir Mas (57), Kuala Krai (55), Machang (32), Jeli (28) dan Bachok (22),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, bilangan wabak yang direkodkan tahun ini adalah 13 wabak dan satu wabak pada tahun lalu.

“Bagi mencegah penyakit ini, kita menasihatkan ibu bapa atau penjaga mengamalkan aspek kebersihan diri dan persekitaran.



“Mereka juga diminta mendapatkan rawatan awal sekiranya mendapati anak-anak mempunyai gejala bagi mengelakkan jangkitan teruk serta menjangkiti kanak-kanak lain.

“Bagi taska dan tadika, kita mohon mereka menitikberatkan aspek kebersihan kerana jangkitan akan mudah merebak di lokasi ini kerana mempunyai ramai bayi serta kanak-kanak,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button