Peras ugut selepas panggilan video lucah

Kuala Terengganu: Polis Terengganu menahan tiga individu termasuk suami isteri yang dipercayai terbabit dalam sindiket pemerasan video lucah menggunakan media sosial.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kegiatan suspek terbongkar susulan aduan daripada lelaki, 11 April lalu.

Beliau berkata, satu pasukan khas iaitu Op Cantas VC ditubuhkan untuk mengesan suspek sebelum membawa kepada penahanan suami isteri masing-masing berusia 27 dan 23 tahun di Sungai Petani, Kedah, 10.15 pagi kelmarin.



“Hasil siasatan awal, mereka mengaku terbabit dalam kes ini dan kita berjaya menahan seorang lagi suspek (lelaki) berusia 39 tahun di kedai telefon di Baling, Kedah.

“Siasatan mendapati sindiket yang baharu bermula tahun ini dipercayai menggunakan media sosial seperti Michat, WeChat dan sebagainya untuk memperdayakan mangsa yang berusia antara 28 hingga 39 tahun untuk membuat panggilan video lucah sebelum memeras ugut mereka.

“Setakat ini, terdapat tiga kes di Terengganu iaitu dua di Marang dan satu di Kuala Terengganu iaitu masing-masing direkodkan berlaku pada 11, 13 dan 24 April (semalam) membabitkan modus operandi (MO) dan beberapa akaun yang sama,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Rohaimi berkata, siasatan mendapati suspek memerangkap mangsa selepas mereka memuat turun aplikasi seperti MiChat yang membawa kepada perkenalan dengan seorang wanita.



Katanya, daripada perkenalan itu, wanita terbabit mengajak mangsa melakukan panggilan video lucah danmangsa menerima video berkenaan sebaik sahaja mereka menamatkan panggilan.

“Suspek kemudian mengugut mangsa supaya memasukkan sejumlah wang sekiranya tidak mahu video berkenaan disebarkan di akaun media sosial milik mangsa

“Ia membabitkan transaksi antara RM30 hingga RM2,000 dan kita percaya terdapat lebih ramai mangsa namun tidak membuat laporan atas dasar maruah dan setakat ini, terdapat empat lagi kes sama dilaporkan iaitu di Selangor, Perak dan Sabah.

Rohaimi berkata, tiga suspek direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button