Stesen PETRONAS naik taraf terminal pembayaran

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) menerusi perniagaan runcitnya menaik taraf hampir 90 peratus stesen PETRONAS dengan terminal pembayaran tercanggih dan sistem di tempat jual (POS) berasaskan awan tahun lalu.

Langkah itu adalah usaha PDB untuk meningkatkan kecekapan operasi demi pengalaman pelanggan yang lebih lancar, selain turut membuka tujuh lagi stesen PETRONAS baharu sepanjang tahun lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani, berkata sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan perniagaan bukan bahan api, syarikat baru-baru ini memperbadankan Mesra Retail & Café Sdn Bhd untuk membangunkan tawaran Sedia-untuk-Makan dan Sedia-Diminum berjenama sendiri.



Katanya, PDB terus mengembangkan penyelesaian makanan dan minuman (F&B) semasa dan produk berjenama Mesra antara lain pembersih tangan dan tisu basah.

“Perniagaan pelincir merekodkan pertumbuhan volum 23 peratus dalam segmen perniagaan ke perniagaan (B2B), sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor perladangan, pengangkutan dan marin.

“Ia kekal berdaya saing dalam pasaran perniagaan ke pelanggan (B2C), memanfaatkan bengkel automotif berjenama sendiri, PETRONAS AutoExpert serta mempercepatkan pertumbuhan melalui platform e-dagang seperti Lazada dan Shopee.

“Ini mengukuhkan lagi pertalian jenama untuk produk utamanya, Syntium dan Sprinta. Perniagaan ini bertujuan untuk meluaskan rangkaian PETRONAS AutoExpert PETRONAS daripada 14 hingga 50 cawangan menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sidang media maya mengumumkan prestasi kewangan syarikat itu, hari ini.



Keuntungan bersih PDB meningkat hampir sekali ganda kepada RM531.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, berbanding RM272.4 juta yang dicatatkan tahun kewangan sebelumnya.

Pendapatannya bagi tahun dikaji turut meningkat 20 peratus kepada RM22.5 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Syarikat itu mengisytiharkan pembayaran dividen sebanyak 70 sen sesaham biasa, yang mewakili 102 peratus nisbah pembayarannya.

Azrul berkata, prestasi PDB mampu melantun semula dengan pantas berikutan sebahagian besarnya disebabkan oleh asas kukuh terhadap perniagaan terasnya ditambah dengan pengurusan kos dan risiko yang berhemat.



“Kedudukan kewangan dan operasi yang teguh telah membolehkan kami menggerakkan perniagaan untuk berkembang maju dalam pandemik dan norma baharu.

“Kami akan terus membuat persediaan yang lebih baik pada masa depan sebagai persediaan untuk berdepan suasana pasaran yang dijangka dan tidak dijangka dengan melabur dalam penyelesaian digital serta mempelbagaikan portfolio produk dan aliran pendapatan,” katanya

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button