Warga emas ditemukan selamat selepas 6 jam sesat
Miri: Seorang warga emas wanita berusia 88 tahun yang sesat di kawasan hutan berdekatan Kampung Iran ditemukan selamat pada jarak 91 meter dari rumahnya sendiri malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binji berkata, mangsa dikenali sebagai Temah Abdullah, 88, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 9.17 malam di kawasan ladang kelapa sawit sekitar jarak 91 meter dari rumahnya di Kampung Iran.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan lemah namun tidak mengalami sebarang kecederaan. Dia (mangsa) kemudian didukung salah seorang anggota bomba keluar dari kawasan ladang sawit berkenaan,” katanya.
Menurutnya, terdahulu warga emas terbabit dilihat masuk ke dalam kawasan hutan pada 3 petang kelmarin.
“Sehingga malam dia tidak pulang sebelum ahli keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa.
“BBP Batu Niah menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.22 malam bagi menjalankan khidmat khas mencari warga emas terbabit,” katanya.
METRO