161 notis saman JPJ dalam tempoh empat jam

JOHOR BAHRU: Sebanyak 161 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor dalam tempoh masa empat jam sepanjang Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 bertempat di Plaza Tol Skudai arah Selatan di sini, malam tadi.

Pengarahnya, Azmil Zainal Adnan, berkata notis itu dikeluarkan terhadap pemandu 132 kenderaan, hasil pemeriksaan terhadap 347 kenderaan dalam operasi berkenaan.

Katanya, antara kesalahan dikesan sepanjang operasi ini adalah kesalahan tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

“Terdapat juga kesalahan membabitkan penggunaan lampu High Intensity Discharged (HID) pada kenderaan, cermin gelap, pamer nombor pendaftaran ‘fancy’ dan ‘extreme’, tayar haus, memasang lampu ‘strobe light’ dan lain-lain kesalahan teknikal.



“Pada masa sama, lima penahanan dilakukan hasil 15 saringan ujian air kencing positif yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor.

“Kesalahan tiada lesen memandu paling tinggi iaitu 54 kesalahan, diikuti tiada lesen Vokasional Kenderaan Barangan (GDL) (16), kesalahan numbor pendaftaran (10), tiada pemandu kedua bagi bas, ubah suai kenderaan dan cermin gelap masing-masing tiga kesalahan,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 di Plaza Tol Skudai arah Selatan di sini, malam tadi.

Operasi HRA 2022 akan dilaksanakan bermula 29 April sehingga 8 Mei depan dengan slogan Pandu Cermat dan Selamat Sampai Ke Destinasi.

Jelas Azmil, dalam tempoh itu penguatkuasaan akan berfokus kepada sembilan kesalahan utama iaitu tidak patuhi lampu merah, pandu lebih had laju, guna telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan, potong barisan, potong garisan berkembar, tidak pakai tali pinggang keledar, membawa lebih muatan dan muatan bahaya.



“Tetapi lima daripadanya akan dikenakan tindakan mahkamah tanpa mendapat tawaran kompaun seperti sebelum tarikh pelaksanaa Ops HRA 2022.

“Lima kesalahan itu ialah tidak patuhi lalu lintas isyarat, pandu lebih had laju, guna telefon bimbit, pandu di lorong kecemasan dan potong barisan,”katanya.

BHOnline

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker