3 harimau Sumatera dibunuh di Indonesia

BANDA ACEH: Tiga ekor harimau Sumatera yang diancam kepupusan ditemui mati di barat Indonesia selepas terperangkap dengan perangkap, kata polis.

Kes ini menggugat jumlah populasi spesies itu yang semakin berkurangan dengan cepat.

Penebangan hutan yang berleluasa mengurangkan habitat semula jadi harimau di tambah konflik dengan manusia menyebabkan hanya beberapa ratus ekor spesies terancam itu yang masih tinggal di hutan.

“Dua daripada harimau mati itu pertama kali ditemui oleh pihak pemuliharaan haiwan tempatan di Aceh – yang terletak di hujung utara pulau Sumatera – sebelum polis dimaklumkan,” kata pegawai pemuliharaan.

“Pihak berkuasa menemui dua bangkai harimau sebelah menyebelah dengan kaki mereka diikat pada batang keluli di sebuah ladang kelapa sawit di daerah Aceh Timur,” kata satu kenyataan polis.

Beberapa jam kemudian, polis menemui seekor lagi harimau mati kira-kira 500 meter dari tempat dua harimau lain ditemui.

Kakinya juga terjerat dengan keluli dan badannya sudah mula reput.

“Kami percaya harimau itu mati selepas terperangkap dalam perangkap babi, kerana apabila kami menemuinya, kaki mereka terperangkap dengan anduh keluli tebal,” kata ketua polis tempatan, Hendra Sukmana dalam satu kenyataan semalam.

Pegawai akan menjalankan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian harimau itu.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya insiden ini… jika bedah siasat mendedahkan ada tindakan sengaja yang menyebabkan kematian spesies dilindungi ini, kami akan mengambil tindakan tegas,” kata ketua agensi pemuliharaan Aceh, Agus Arianto kepada AFP.

Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa menganggarkan Harimau Sumatera kini hanya tinggal lebih kurang daripada 400 ekor di hutan.

Dipercayai 10 harimau dibunuh setiap tahun, menurut kementerian perhutanan Indonesia.

Harimau juga menjadi sasaran pemburu haram yang mengumpul anggota badan mereka yang bagi kegunaan dalam perubatan tradisional – khususnya di China – walaupun tiada bukti saintifik yang menyokong khasiat daging haiwan berkenaan.

.AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker