Hakim tidak kebal terhadap pendakwaan jenayah

KUALA LUMPUR: Konsep pengasingan kuasa di antara badan eksekutif dan kehakiman, tidak bermaksud kekebalan penuh terhadap semua peruntukan undang-undang.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, berkata ia merujuk kepada peraturan kendiri kepada sesetengah perkara tetapi tidak kesemuanya.

“Konsep pengasingan kuasa tidak bermakna mempunyai kekebalan terhadap semua peruntukan undang-undang.

“Ia merujuk kepada peraturan kendiri membabitkan sesetengah perkara tetapi tidak kesemuanya. Hakim adalah tidak kebal terhadap pendakwaan jenayah,” katanya menerusi hantaran di Twitter hari ini.



Hantaran itu merujuk kepada isu siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Beberapa pihak membidas siasatan terbabit yang disifatkan bukan sahaja melanggar prinsip pengasingan kuasa malah serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman.

SPRM sebelum ini dilaporkan sudah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan dengan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan ia prosedur biasa selepas agensi itu menerima laporan secara rasmi.

Khamis lalu, Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin.



Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker