Hannah Yeoh minta kerajaan beri bantuan mangsa banjir KL

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh meminta kerajaan meluluskan bantuan tunai sekurang-kurangnya RM1,000 kepada semua mangsa banjir kilat di ibu kota semalam yang telah mengalami kerugian harta benda.

“Memandangkan Hari Raya semakin dekat dan persiapan menyambut perayaan ini terjejas dengan teruk, saya menggesa Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan segera meluluskan bantuan sumbangan tunai sekurang-kurangnya RM1,000 bagi mereka yang terkesan,” katanya.

Menurut Yeoh, hasil tinjauannya di kawasan terjejas menunjukkan kerosakan harta benda yang teruk. Banyak rumah dinaiki air sedalam dua kaki dan ramai penduduk terpaksa membuang tilam dan perabot rumah. Terdapat juga pelajar yang mengalami kerosakan buku dan beg sekolah. Kenderaan juga rosak akibat ditenggelami air.

“Keperluan mencari penyelesaian kepada masalah banjir di Kuala Lumpur semakin kritikal. Setiap kali ia berlaku, kerosakan harta benda dianggarkan berjuta-juta.

“Alasan taburan hujan tinggi sudah tidak boleh diguna pakai jika modus operandi kerajaan masih tidak berubah. Ini sudah tahap bencana setiap kali ia hujan di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam ciapan di Twitter yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP memaparkan beberapa gambar tinjauan mangsa banjir di Kolam Air di sini.

“11.30pm (malam) Selesai melawat beberapa mangsa banjir di Kolam Air #Segambut. Tak sampai empat bulan, rumah di sini dilanda banjir sekali lagi. Ada rumah yang penuh dengan air lumpur,” katanya.

Dalam ciapan berasingan, beliau memaklumkan, sembilan lokasi di Segambut terjejas kejadian banjir kilat, antaranya Kampung Masjid Segambut dan Kampung Segambut Luar.

“Banjir kilat dilaporkan di banyak lokasi di #Segambut. Saya ucapkan terima kasih kepada Balai Polis Jinjang, Sentul dan Sri Hartamas yang telah bersiap sedia dengan bot namun tidak boleh digunakan kerana paras air paras betis. Apapun TQ @PDRMsia gerak cepat ke lokasi,” katanya.

Semalam, Kuala Lumpur dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berterusan sejak jam 3.30 petang, menyebabkan banyak laluan utama di sekitar ibu negara ditenggelami air.

Antara laluan itu adalah Jalan Segambut, Jalan Kuching, Jalan Pudu, Jalan Ampang, Jalan Genting Klang, Jalan Sungai Besi, Jalan Tun Razak dan Jalan Tuanku Abdul Halim.

Turut dilaporkan ditenggelami air adalah Jalan Semantan, Jalan Kinabalu, Jalan Changkat Thami Dollah dan Lebuhraya Sultan Iskandar.

BHOnline

Leave a Reply