Kekurangan tenaga kerja generasi muda isu terbesar

Kuala Lumpur: Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) menyambut baik ketegasan kerajaan untuk tidak membuat pusingan U atau menarik balik pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 walaupun terdapat pelbagai pandangan dan kritikan.

Setiausaha Agungnya, Mohammad Rizan Hassan berkata, bagaimanapun PKPB ingin mengingatkan semua pihak bahawa isu terbesar yang dihadapi ketika ini ialah kekurangan tenaga kerja dalam kalangan generasi muda di semua sektor.

Menurutnya, pelbagai inisiatif dan insentif diberikan kerajaan kepada majikan serta pencari kerja khususnya belia tetapi isu itu semakin kritikal.



“Teknologi menyebabkan cara berfikir belia berubah. Begitu juga, teknologi turut mengubah cara bekerja dan kehidupan generasi muda kita.

“Malangnya, budaya dan cara mengurus sumber manusia di tempat kerja tidak berubah. Majikan perlu segera memandang serius trend ‘Perkongsian Strategik’ antara belia dan dewasa atau dikenali sebagai Youth-Adult Partnerhsip (Y-AP).

“Perkongsian belia dan dewasa yang strategik merujuk kepada simbiosis kerja antara golongan muda dan rakan sejawat dewasa mereka dalam organisasi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semakin kerap majikan menjatuhkan hukuman dan melabel golongan belia memilih kerja, malas, tidak kompeten dan sebagainya, maka semakin membesarlah jurang anak muda untuk tidak mempercayai golongan dewasa di tempat kerja.



Katanya, ketika Malaysia terus menjadi sebuah negara yang lebih muda dengan populasi belia yang ketara, pengamal sumber manusia di industri perlu menyedari bahawa tenaga kerja kalangan belia akan semakin mengambil peranan yang lebih bermakna dalam organisasi sebagai pemimpin bersama orang dewasa.

“Justeru, PKPB menyeru kepada pihak majikan, pengamal sumber manusia, pakar pembangunan belia, penggubal dasar untuk memahami cara berbeza yang mana golongan belia dan dewasa dalam tetapan organisasi boleh mengoptimumkan hubungan mereka untuk kesejahteraan organisasi yang akhirnya memberi manfaat besar kepada ekonomi negara serta sosial masyarakat.

“Sudah tiba masanya, program-program pembangunan sumber manusia turut disekalikan dengan pembangunan positif belia jika kita ingin melihat bakat tempatan mengisi pelbagai kekosongan jawatan di semua sektor perindustrian.

“Usaha ini menuntut kesungguhan, komitmen dan semangat nasionalisme yang tinggi kita semuanya khususnya pihak majikan di negara ini,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button