Posmen maut kemalangan

Tapah: Posmen maut apabila kereta Perodua Viva yang dipandunya dipercayai hilang kawalan masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (KM) 82 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, lewat petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang, mangsa, Mohamad Nurazreen Faizal Zul, 30, yang difahamkan berkerja di Tanjung Malim disahkan meninggal dunia kira-kira 8.30 malam di Hospital Slim River.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata siasatan awal pihak polis mendapati ketika kejadian dipercayai mangsa dalam perjalanan dari Slim River menuju ke arah Bidor.



Menurutnya, tiba di tempat kejadian dipercayai kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang sedang memandu dari Sungkai ke arah Slim River tidak sempat mengelak dan melanggar kereta mangsa.

“Akibat kemalangan terbabit, mangsa yang beralamat Kampung Tersusun Jalan Bidor Lama, Tapah mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Slim River,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Azharuddin berkata mangsa yang berkerja sebagai posmen di Tanjung Malim disahkan meninggal dunia selepas kira-kira dua jam menerima rawatan di hospital berkenaan.



Manakala, pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button