Shahidan, Tuan Ibrahim mesti jelaskan punca banjir

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man digesa memperjelas kegagalan mencegah banjir kilat di ibu negara.

Desakan itu dikemuka Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, selepas mengambil kira faktor semua projek tebatan banjir di Kuala Lumpur ‘berjaya’ dilaksanakan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Pusat berkata, banjir kilat di ibu negara semalam, lebih buruk dan berlaku kurang dari empat bulan berbanding kejadian sama pada Disember lalu, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga Kuala Lumpur.

Namun, beliau berkata, sehingga kini tiada penjelasan berhubung punca kekerapan kejadian banjir kilat di ibu kota dikemuka pihak berkuasa, walaupun peruntukan besar sudah dibelanjakan bagi pelbagai projek tebatan banjir.

“Kedua-dua menteri ini perlu mendedahkan kepada masyarakat umum, sama ada sebarang penilaian kesan alam sekitar menyeluruh di Lembah Klang sudah dijalankan atau sebaliknya.

“Ini kerana, warga Kuala Lumpur tidak terlepas daripada banjir besar setiap kali hujan lebat kurang setengah jam. Kereta mereka perlu dibaiki, selain rumah perlu dibersihkan dengan setiap kejadian akan mengakibatkan kerugian harta bernilai jutaan ringgit.

“Pembangunan mampan sangat diperlukan di kawasan bandar, sebaliknya bukan hanya tertumpu kepada bangunan pencakar langit yang akan memburukkan lagi keadaan, jika pembinaannya tidak dikawal.

“Hujan lebat tidak boleh dijadikan sebagai alasan kerana ia bukanlah suatu bencana alam. Sebaliknya, banjir kilat akibat hujan lebatlah bencana besar kepada warga Kuala Lumpur,” kata Pengerusi Biro Aduan Awam DAP itu dalam kenyataan, hari ini.

Beberapa jalan utama di sekitar ibu negara ditenggelami air susulan hujan lebat berterusan kira-kira sejam, semalam.

Antara laluan sesak dan dinaiki air ialah Jalan Kuching, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Semantan, Jalan Pintasan Gambut, Jalan Kinabalu, Jalan Changkat Thambi Dollah, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Travers, Bulatan Dato Onn dan Jalan Merdeka.

Keadaan itu mengakibatkan berlaku kesesakan teruk pada waktu puncak orang ramai pulang dari tempat kerja.

BHOnline

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker